Berita

MSWP salur bantuan RM88,000 kepada persatuan sukan di Labuan

SHAHIDAN (tengah) menyaksikan penyerahan Bantuan Pentadbiran Persatuan Sukan yang disampaikan oleh pengerusi MSWP Ramlan (dua dari kanan) kepada Rithuan (dua dari kiri).
- Diterbit 27 Ogos 2022 6:00 AM MYT

MAJLIS Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menyerahkan bantuan berjumlah RM88,000 kepada persatuan sukan di Pulau Bebas Cukai ini bagi membantu dalam program pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan.

Penyerahan bantuan itu disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim kepada 24 persatuan sukan di Labuan pada majlis penyampaian bantuan itu di sini, pada Sabtu lalu.

Shahidan berkata sebanyak 24 pasukan sukan bakal menerima bantuan pentadbiran di antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap persatuan dengan jumlah keseluruhan RM88,000.

Katanya, adalah sebagai tanda sokongan dan galakan tidak berbelah bahagi kami kepada persatuan sukan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan, tidak kiralah sama ada dari Labuan, Kuala Lumpur mahupun Putrajaya.

“Menjadi harapan saya agar lebih banyak persatuan sukan di Labuan dapat melahirkan ramai lagi atlet yang berpotensi tinggi, lebih-lebih lagi Labuan mempunyai kelebihan tersendiri dalam pembangunan sukan berasaskan air.

“Saya cukup yakin dengan usaha keras dan semangat yang padu, lebih ramai lagi atlet berprestasi tinggi dapat dilahirkan oleh persatuan sukan di Labuan, yang mana pada suatu hari nanti Insya-Allah mereka ini bakal mewakili dan mengharumkan nama negara hingga ke peringkat dunia,” katanya dalam petikan ucapannya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan selamat maju jaya kepada 39 atlet di Labuan yang mewakili sembilan jenis sukan kerana berjaya disenarai pendek untuk mewakili kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA pada 16 hingga 24 September depan.

“Diharapkan mereka yang terpilih ini bakal memperoleh kejayaan yang cemerlang, sekali gus mengharumkan nama Wilayah Persekutuan pada temasya itu nanti,” ujarnya.

Pada majlis yang sama, Shahidan turut menyampaikan Bantuan Awal Institut Pengajian Tinggi oleh Yayasan Wilayah Persekutuan kepada atlet ragbi wanita di Labuan, Zaryssa Awang Danial yang bakal mengikuti kursus Diploma Pengajian Sukan di Universiti Teknologi MARA, Samarahan, Sarawak.

Terdahulu, Shahidan turut menyaksikan dan menyampaikan hadiah Grand Final Kejohanan Futsal Piala Menteri Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022 di Gelanggang Futsal Tanjung Purun di sini.

Perlawanan itu menyaksikan pertembungan antara juara Futsal Piala Menteri Wilayah Persekutuan peringkat Kuala Lumpur/Putrajaya dan juara peringkat Labuan, dengan pemenang menerima wang tunai RM1,500, Piala Menteri Wilayah Persekutuan dan pingat, sementara naib johan menerima RM1,000, piala serta pingat. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas