Berita

Pihak berkepentingan diseru ganding bahu, sediakan jaringan keselamatan sosial kanak-kanak terabai

- Diterbit 12 April 2023 3:48 PM MYT

PESURUHJAYA Kanak-Kanak (CC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyeru semua pihak berkepentingan dalam melindungi kanak-kanak supaya berganding bahu serta mewujudkan persekitaran kondusif dan inklusif dengan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang mampu mengesan kanak-kanak terabai.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Dr Farah Nini Dusuki berkata ia hanya akan dapat dicapai apabila semua pihak berkepentingan dengan kepakaran, pengalaman dalam perjuangan, sumber dan kebijaksanaan masing-masing, bekerjasama ke arah merealisasikan hak kanak-kanak.

Selain itu, beliau berkata satu pendekatan silang yang berasaskan kepada penyelesaian bagi mengenal pasti dan menghapuskan sebarang halangan kepada usaha progresif dalam mempromosi serta melindungi hak asasi kanak-kanak adalah diperlukan.

Untuk itu, beliau mengesyorkan satu usaha kolektif untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Tetap Antara Agensi dengan keahliannya terdiri daripada sektor kerajaan dan masyarakat Madani bagi membangunkan platform pemetaan untuk mengenal pasti jurang, mengumpul sumber dan mengatur tindak balas.

“Memandangkan fungsi demokratik dipegang oleh entiti awam dan swasta, maka satu platform dialog wajar untuk menyemak dan menyatukan tindakan utama bagi tindak balas operasi yang sistematik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Farah Nini berkata walaupun Malaysia telah menghasilkan pencapaian signifikan dalam perundangan yang melindungi dan mempromosi hak dan kepentingan kanak-kanak, usaha yang tidak bersepadu dan perkhidmatan yang bertindih oleh pelbagai agensi kerajaan dikesan berlaku dalam tindak balas kepada pengurusan isu kanak-kanak.

“CC yakin bahawa meskipun mekanisme perlindungan telah diwujudkan dengan baik dalam kerangka perundangan, sistem tersebut masih memerlukan penambahbaikan untuk meningkatkan keberkesanan tindak balas secara keseluruhan.

“Terdapat jurang antara kemajuan reformasi perundangan dengan pelaksanaan bermakna oleh pegawai penguat kuasa yang terlibat, yang menjejaskan usaha yang dilakukan dalam menggubal undang-undang yang lebih baik,” katanya.

Selain itu. beliau berkata perkhidmatan perlindungan sedia ada untuk kanak-kanak belum memenuhi indikator perlindungan yang dimaksudkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

“CC percaya bahawa tanggungan tugas pentadbiran awam dan perlindungan hak kanak-kanak adalah tidak saling eksklusif sebaliknya, menghormati hak kanak-kanak adalah mustahak dalam mentadbir negara secara mapan dan progresif,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas