Berita

Pernas peruntuk RM45,600 ceriakan Aidilfitri 60 anak yatim

- Diterbit 13 April 2023 5:00 AM MYT

PERBADANAN Nasional Berhad (Pernas) menyumbang sebanyak RM45,600 kepada Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak-Anak Yatim Damai Kuang di Selangor dan Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera, Kuala Lumpur bagi menceriakan seramai 80 anak yatim untuk membeli persiapan raya.

Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainuddin dalam kenyataan memaklumkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Program Sinar Ramadan itu adalah tanda keprihatinan syarikat untuk membantu golongan yang memerlukan khususnya anak-anak yatim meraikan hari lebaran dengan lebih bermakna.

“Pada Mac lalu, Pernas telah melaksanakan CSR bersama SMK Seri Pantai yang merupakan sekolah angkat Pernas bagi membantu murid-murid asnaf menyediakan persiapan persekolahan.

“CSR Program Sinar Ramadan ini merupakan inisiatif CSR kedua Pernas bagi menyantuni anak-anak yatim dengan program berbuka puasa dan menyumbang kelengkapan perayaan serta duit raya,” katanya.

Sumbangan itu disampaikan pada majlis berbuka puasa Sinar Ramadan Pernas 2023 di sini, baru-baru ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek, Pengurus Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak-Anak Yatim Damai Kuang Muhamad Syafiq Suhaimi dan Pengasas Bersama Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera Suzana Jaafar.

Selain sumbangan membeli keperluan raya seperti baju raya, songkok, tudung dan kasut, setiap anak yatim yang hadir turut menerima RM100 duit raya.

Hazimah berkata Pernas sentiasa komited menjuarai program CSR melalui tiga teras syarikat berkenaan iaitu keusahawanan, pendidikan serta kebajikan masyarakat selain merancang untuk melaksanakan beberapa inisiatif CSR pada tahun ini bagi membantu golongan yang memerlukan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas