Berita

PERKESO, KESUTRA gotong royong rewang dan edar bubur lambuk

BUBUR lambuk diagihkan kepada orang ramai.
- Diterbit 12 April 2023 4:34 AM MYT

SINERGI Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Putrajaya dengan kerjasama Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi PERKESO Putrajaya (KESUTRA) dan Jemaah kariah Surau Al-Muttaqin, Presint 5, Putrajaya berganding bahu menganjurkan aktiviti rewang dan mengagih bubur lambuk baru-baru ini.

PERKESO dalam satu kenyataan memaklumkan, penganjuran itu adalah sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang bertujuan memupuk nilai kemasyarakatan dan keprihatinan dalam kalangan anggota PERKESO Putrajaya bersama masyarakat setempat khususnya dalam bulan Ramadan.

“Agihan bubur lambuk ini turut diedarkan kepada pemegang taruh PERKESO terutama para pekerja e-hailing seperti penghantar makanan (rider) food panda dan Grab serta suri rumah di Putrajaya.

“Pada masa yang sama, KESUTRA turut menjemput para petugas kesihatan dari Megaklinik Zahran, Bangi untuk memberi kesihatan percuma kepada penduduk setempat dan anggota PERKESO yang terlibat dalam aktiviti tersebut,” jelas kenyataan tersebut.

Menurutnya, program CSR yang dijalankan itu telah berjaya menggabungkan seluruh kakitangan PERKESO termasuk KESUTRA dan Jemaah Kariah Surau untuk sama-sama bergotong-royong memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada kumpulan sasaran.

Menerusi program itu juga, PERKESO Putrajaya turut mengambil kesempatan mempromosikan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSR) kepada kumpulan sasaran tersebut.

“Selain itu, kami juga turut menyebarkan kesedaran tentang kepentingan mencarum bagi kedua-dua skim ini. Dengan itu, usaha pemerkasaan yang dilakukan oleh pegawai berdidikasi tinggi ini dapat memberi kesedaran dan pemahaman kepada sebahagian penduduk setempat untuk mencarum secara terus di lokasi itu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas