Berita

Peserta pertandingan ukir buah tonjol kreativiti

AHLI Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli (kiri) melihat salah satu hasil ukiran buah yang ditampilkan seorang peserta.
AHLI Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli (kiri) melihat salah satu hasil ukiran buah yang ditampilkan seorang peserta.
- Diterbit 26 Julai 2019 12:14 AM MYT

LABUAN – Seramai 10 orang peserta mempamerkan bakat kreatif mengukir buah-buahan dalam Pertandingan Ukiran Buah-Buahan Jalanan yang dianjurkan Labuan Society di Labuan Walk di sini baru -baru ini.

Menurut Pengerusinya, Wan Abdul Rahim Wan Abdul Rahman, pertandingan tersebut berjaya mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang seni ukir buah untuk dipertontonkan kepada orang ramai.

“Pertandingan ini mampu menarik lebih ramai penyertaan pada masa hadapan kerana seni yang dipersembahkan berjaya memukau pengunjung.

“Pihak kami turut akan memperluaskan lagi penganjurannya pada masa hadapan dan diharap menjadi ‘signature event’ yang boleh menarik kehadiran pelancong ke Labuan,’’ katanya.

Pada pertandingan tersebut, Mat Jaiman Sukadi, 34, yang berasal dari Beaufort, Sabah meraih tempat pertama sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM250 dan baucer penginapan dua hari satu malam di Hotel Grand Dorsett Labuan.

Arlvin Agang, 20, yang berasal dari Kuala Penyu pula memenangi tempat kedua de­ngan membawa pulang wang tunai RM200 dan baucer makan malam BBQ di Hotel Grand Dorsett Labuan manakala Mohd. Farhan Alfi Ab. Rahman, 19, dari Membakut, Sabah mendapat tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM150 serta baucer makan malam.

Hadiah saguhati pula dimenangi Fatimah Untong, Mohammad Syafiq Shamsuddin dan Fadly Anan. Wan Abdul Rahim berkata, pada mulanya Labuan Socie­ty­ merancang mengadakan program Labuan Fruit Car­ving Festival dengan melibatkan penyertaan cef-cef hotel di sekitar Labuan, Sabah, Sarawak dan Brunei.

“Bagaimanapun program ini terpaksa ditangguhkan memandangkan kami telah terlibat dengan penganjuran Labuan Big Show dua minggu lalu.

“Untuk tidak menghampakan peserta dari Labuan yang telah dimaklumkan lebih awal, pihak kami tetap meneruskan pertandingan tersebut pada skala kecil melibatkan peserta dari sekitar Labuan sahaja,’’ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas