Berita

Potensi industri benih bunga semusim

BUNGA balung ayam yang ditanam di sekitar Putrajaya.
BUNGA balung ayam yang ditanam di sekitar Putrajaya.
- Diterbit 26 Julai 2019 12:08 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN


UMUM sedia maklum, Belanda menduduki tempat teratas dalam pengeluaran biji benih dunia sama ada dari segi jumlah jualan mahu pun dagangan dan inovasi.

Malah, berdasarkan kajian yang dilakukan Universiti Wageningen, Belanda, sebanyak 40 peratus daripada dagangan benih pertanian dan hortikultur datang dari negara kincir angin tersebut kerana sebahagian syarikat besar dunia menempatkan pusat pengeluaran benih di sana.

Kejayaan Belanda dalam bidang pertanian juga didorong oleh faktor penyelidikannya yang berterusan di samping peruntukan perbelanjaan yang besar ke atas penyelidikan dan pembangunan (R&D) biji benih.

Mengulas tentang potensi industri biji benih di negara ini, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Rotina Mohd. Daik memberitahu, industri yang dimonopoli oleh Belanda itu boleh dimajukan di Malaysia terutama benih yang melibatkan bidang landskap seperti bunga celosia, begonia dan salvia.

Tambahan pula katanya, Malaysia merupakan negara beriklim tropika dan mempunyai suhu yang bersesuaian untuk industri biji benih.

Memfokuskan industri tersebut dalam bidang landskap dan benih bunga berkaitan tanaman hiasan, jelas beliau, pasaran tersebut boleh memecah dominasi Belanda kerana Malaysia mempunyai polisi yang jelas malah kebanyakan bunga hiasan renek mahu pun semusim datangnya daripada negara ini sendiri.

“Jika ada bisnes model yang betul selain dilengkapi dengan perancangan promosi serta pasaran, kita boleh berjaya tetapi perkara ini perlu dilaksanakan oleh pihak yang betul-betul berminat untuk menjadikan industri benih bunga sebagai salah satu pelaburan utama.

“Minat itu mestilah daripada pihak swasta kerana kerajaan hanya mengeluarkan polisi seperti lokasi penanaman. Peruntukan juga perlu daripada pihak swasta.

“Industri perlu melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia. Mereka akan melihat dari segi potensi eksport industri ini. Kita pula bertindak sebagai agensi yang akan mengeluarkan polisi pelaksanaan industri biji benih dan bunga negara.

“Bagi jangka masa pelaksanaan pula, ia bergantung pada kelulusan di pelbagai peringkat antaranya kerajaan. Saya tidak pasti boleh tahun ini atau tidak cuma dari segi pelaksanaan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu boleh dilaksanakan kerana kita beri polisi dan mereka laksana dengan peruntukan sendiri,’’ katanya.

Beliau berkata, jika ingin memajukan industri ini, kajian yang menyeluruh amat diperlukan supaya pelaburan tidak mendatangkan kerugian kepada negara.

Menurut Rotina, pada masa ini, Malaysia mengimport kebanyakan bunga-bunga dari negara luar terutama Belanda. Sehubungan itu, sekiranya negara ini menjadi pusat pengeluar biji benih maka hasil tersebut boleh dieksport ke negara-negara lain yang beriklim sama.

Tambah beliau, bagi merealisasikannya, kerajaan khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memainkan peranan utama iaitu menjadikan kawasan bandar sebagai contoh sehingga menjadi ikutan negara luar.

Kajian biji benih

Bagi memantapkan industri biji benih, kajian terperinci perlu dilakukan yang mana fokus utama adalah untuk memanjangkan jangka hayat bunga-bungaan yang ditanam. Ini kerana, bunga hasil daripada benih dari Belanda tidak kekal lama dan menyebabkan kos yang tinggi kepada pengimport.

Dalam hal ini Rotina berkata, kajian industri bunga akan dibuat oleh pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan mereka sedang menunggu peruntukkan sewajarnya bagi membolehkan kajian dilakukan dengan sempurna.

“Pihak MARDI dalam peringkat perbincangan untuk mendapatkan peruntukan bagi mengadakan kajian biji benih tersebut. Ia lebih menjurus kepada ketahanan bunga, pendebungaan dan sebagainya. Selain memanjang tempoh hayat bunga tersebut, MARDI juga akan membuat kajian lain dari segi kesesuaian bunga-bungaan tersebut,” jelas beliau.

Bagi fokus utama pula, katanya, penanaman dan kajian lebih kepada pokok berbunga antaranya jenis celosia, begonia dan salvia yang mana nama kampungnya adalah balung ayam, tahi ayam, asam batu dan pokok ati-ati tetapi apabila Belanda ambil benih dan melakukan beberapa kajian sebelum menjualnya semula, pokokpokok berkenaan tidak dapat bertahan lama.

Berada di dalam iklim tropika dan berhampiran garisan khatulistiwa menjadikan Malaysia negara yang kaya dengan hidupan flora dan fauna serta terkenal dengan keunikan biodiversiti.

Terbahagi kepada beberapa kategori iaitu pokok utama yang berbunga, pokok-pokok renek yang berbunga dan juga pokok annual yang berbunga dalam tempoh tiga bulan, industri benih sememangnya sesuai dimajukan di negara ini.

Rotina memberitahu, pada masa ini, pihaknya menggalakkan penanaman pokok-pokok yang renek dan semusim di kawasan-kawasan protokol, jalanjalan utama serta pusat-pusat tumpuan orang ramai termasuk pelancong asing.

“Di peringkat kementerian kita menyasarkan supaya Kuala Lumpur dan Putrajaya menjadi bandar contoh untuk menanam lebih banyak bunga-bungaan. Bagi industri ini pula, kita akan fokus kepada penyelidikan supaya dapat menghasilkan biji benih yang tahan lama, maksudnya biji benih yang dapat mengeluarkan bunga yang tahan lebih lama kerana bunga yang ada sekarang hanya bertahan selama tiga bulan.

“Kalau boleh hasilkan bunga itu yang mempunyai jangka hayat lebih panjang, ia akan lebih ekonomik kepada PBT atau pihak-pihak lain yang menggunakannya. Dari segi industri biji benih, setakat ini, Jabatan Landskap Negara masih lagi mengkaji dengan banyak pihak iaitu usahawan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan MARDI yang akan fokus kepada aspek penyelidikan serta bagi Jabatan Pertanian kerana mereka mempunyai fasiliti.

“Bagi mengembangkan aktiviti bunga-bungaan pula, kerjasama dilakukan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kerana semua PBT berada di bawah seliaannya,” katanya.

Menurut Rotina, Jabatan Landskap Negara pula menekankan penanaman pokok-pokok utama di bandar-bandar kerana ia membantu negara berhadapan dengan perubahan iklim dan suhu sekali gus menjadikan kawasan bandar yang pesat lebih sejuk serta nyaman.

BUNGA tahi ayam  (Marigold)
BUNGA tahi ayam (Marigold)
BUNGA ati-ati (Coleus blumei)
BUNGA ati-ati (Coleus blumei)
 BUNGA Balung Ayam yang ditanam secara besar-besaran di Taman Ramadanu, Magelang Jawa Tengah yang dibina seolah-olah taman di Belanda sehingga menjadi salah satu lokasi pelancongan di Indonesia.
BUNGA Balung Ayam yang ditanam secara besar-besaran di Taman Ramadanu, Magelang Jawa Tengah yang dibina seolah-olah taman di Belanda sehingga menjadi salah satu lokasi pelancongan di Indonesia.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas