Berita

SMS Labuan muncul juara pantun

YAHYA (tiga dari kanan) Asmawi (empat dari kanan) Norazita (empat dari kiri) bergambar bersama pasukan pemantum SMSL yang muncul juara Pertandingan Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah 2019 Peringkat WP Labuan
YAHYA (tiga dari kanan) Asmawi (empat dari kanan) Norazita (empat dari kiri) bergambar bersama pasukan pemantum SMSL yang muncul juara Pertandingan Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah 2019 Peringkat WP Labuan
- Diterbit 26 Julai 2019 12:16 AM MYT

Oleh Md. Khairul Azad Yunus

LABUAN – Sekolah Menengah Sains Labuan (SMSL) muncul juara Pertandingan Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah 2019 Peringkat WP Labuan yang dilangsungkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantai IB World School di sini baru-baru ini.

Kumpulan pantun SMSL yang menggelarkan diri mereka sebagai Anak Seni Sains Labuan (ASESLA) diwakili Muhammad Afiq Ikram Ramlae, 14, Aiman Shah Ronnie Redzuan, 15, Mohd. Khairuddin Mat Jislim, 15, Nurul Syahidah Suhaili, 14, dan Nurhaziqah Irdina Hassan, 15, dinobatkan sebagai johan pertandingan itu selepas berjaya menewaskan kumpulan pemantun dari SMK Lajau.

Guru pembimbing ASESLA, Yahya Burhanuddin berkata, beliau amat bersyukur atas kemenangan yang diperoleh setelah sekian lama sekolahnya tidak menjuarai pertandingan itu.

Beliau turut berharap agar pasukan pantun SMSL akan menempa kejayaan dalam Pertandingan Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan pada 19 hingga 22 Julai ini di Kuala Langat, Selangor.

Pasukan SMSL menerima kejayaan berganda apabila Aiman Shah turut dinobat sebagai pemantun terbaik.

SMK Lajau pula diwakili Fatin Liyanah Adilah Basran ,15; Nur Syakirah Shamsuddin ,15; Teo Siti Raydiyana ,15; Siti Nurafiqah Zamri ,15, dan Aiman Safwan Mohamad Johan,15.

Tempat ketiga bersama dimenangi oleh SMK Labuan dan SM. St. Anthony manakala Anugerah Busana Terbaik te­lah disandang oleh SMK Rancha-Rancha.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Unit Kokurikulum, Jabatan Pendidikan WP Labuan, Asmawi Ahmad. Hadir sama Pengetua SMK Pantai IB World School, Norazita Md. Nor@Shamsuri dan Pengerusi Teknik Pesta Pantun WP Labuan, Roziah Abd. Rahman.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas