Pesakit COVID perlu sentiasa positif – Dr Zulkifli

Pesakit COVID perlu sentiasa positif – Dr Zulkifli

PESAKIT COVID-19 diingatkan agar sentiasa berfikiran positif, tidak berasa tersisih dan tertekan sepanjang menerima rawatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau yang juga pernah menjalani rawatan wabak tersebut di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban selepas disahkan positif 4 Okt tahun lepas turut menasihatkan pesakit agar sentiasa bersangka baik dan memenuhi masa lapang sebaik mungkin dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan membaca.

“Ujian yang paling besar kita apabila kita ditimpa musibah seperti ini, perkara pertama sebagai seorang Islam kita sentiasa menginsafi dan meninggikan kesabaran kepada Allah,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.

Menerusi hantaran itu, Zulkifli berkongsi video bertemu dan memberi kata-kata motivasi kepada pesakit dan petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dengan dipisahkan dinding kaca.

Dalam kunjungan itu, beliau menyerahkan buku bertajuk ‘Hari-Hari Tarbiah Dalam  Hidupku’ yang mengandungi panduan dan perkongsian pengalaman ditulisnya semasa menjadi pesakit COVID-19 selain sumbangan makanan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia kepada pesakit.

Zulkifli juga mezahirkan perasaan sebak dan sayu ketika melihat raut wajah pesakit dan petugas yang jelas keletihan ‘berperang’ dengan pandemik tersebut.

“Saya faham perasaan mereka kerana pernah berada dalam situasi mereka. Banyakkan berdoa moga Allah SWT terus memelihara Malaysia,” katanya. – BERNAMA

 

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )