Utama

Proklamasi Darurat: Perkhidmatan JHEV tidak terjejas

- Diterbit 22 Januari 2021 7:00 AM MYT

JABATAN Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi jaminan bahawa sistem penyampaian perkhidmatan kepada veteran ATM tidak akan terjejas berikutan Proklamasi Darurat, baru-baru ini.

JHEV dalam kenyataan memaklumkan pelaksanaan itu akan dibuat berteraskan undang-undang dan dasar kerajaan yang diputuskan dari semasa ke semasa.

“Peranan dan tugas jabatan itu berjalan seperti biasa termasuk penyaluran bantuan kebajikan, pengurusan faedah persaraan dan perubatan serta bentuk urusan berkaitan hal ehwal veteran ATM dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Warga veteran ATM memahami keperluan pengisytiharan Proklamasi Darurat dengan menggalas amanah dipertanggungjawabkan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada semangat jati diri yang disemai semasa dalam perkhidmatan dan selepas menamatkan perkhidmatan,” demikian kenyataan JHEV hari ini.

Menurut JHEV, Proklamasi Darurat itu dapat memperkukuhkan lagi keberkesanan pelaksanaan PKP dalam menangani ancaman penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan.

“Pendekatan yang dilaksanakan ini akan menjamin kestabilan negara dan membolehkan kerajaan kekal fokus kepada usaha memulihkan ekonomi serta memastikan kehidupan rakyat yang makmur dan sejahtera,” menurut kenyataan itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini telah memberi perkenan pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos depan sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas