Berita

Perubahan aliran trafik berhampiran stesen Monorel Chow Kit

|
- Diterbit 25 Mac 2021 12:30 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengubah aliran trafik di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman/ Jalan Sultan Azlan Shah / Jalan Raja Muda Abdul Aziz berhampiran Stesen Monorail Chow Kit berkuatkuasa mulai Sabtu ini.

Dalam satu kenyataannya hari ini, DBKL memaklumkan perubahan itu bertujuan untuk melancarkan aliran trafik dan meningkatkan lagi tahap keselamatan di lokasi terbabit.

“Dalam perubahan ini, pengguna dari arah Jalan Raja Muda Abdul Aziz tidak dibenarkan ke Jalan Chow Kit. Pengguna diminta untuk menggunakan Jalan Sri Amar sebagai jalan alternatif.

“Perubahan ini adalah hasil daripada kajian terperinci yang telah dilaksanakan dan akan dapat memberikan lebih keselesaan kepada pengguna jalan raya serta mengurangkan kadar risiko kemalangan,” kata kenyataan itu hari ini.

Justeru itu, semua pengguna jalan raya diingatkan untuk mematuhi papan tanda arah dan keselamatan yang disediakan bagi memastikan tidak berlaku perkara yang tidak diingini. -AZLAN ZAMBRY- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas