Berita

Polis Kedah pinjam Along boleh dikenakan tindakan

- Diterbit 25 Mac 2021 4:24 AM MYT

ANGGOTA serta pegawai polis di Kedah yang terjebak dengan aktiviti pinjaman wang daripada along, walaupun yang berlesen, boleh dikenakan tindakan tatatertib, kata Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan.

Beliau berkata meminjam wang dengan along merupakan satu kesalahan tatatertib kerana anggota dan pegawai polis perlu mendapatkan kebenaran ketua jabatan terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang pinjaman.

“Andai kata dia (anggota polis) pinjam duit along dan mungkin tidak dapat membayar semula pinjaman,  kemudian rumah kena simbah cat, dia buat laporan polis kita akan siasat kes along itu dan satu lagi siasatan dalaman jabatan kenapa pinjam duit tanpa kebenaran ketua jabatan.

“Walaupun along itu berlesen, tetapi pinjaman yang dibuat tidak menggunakan saluran yang betul,” katanya kepada pemberita selepas perbarisan sempena sambutan Hari Polis ke-214 peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Hasanuddin bagaimanapun berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan isu pinjaman along melibatkan anggota dan pegawai polis Kedah, namun beliau memberi amaran supaya tiada mana-mana warga IPK Kedah terjerat dengan kegiatan pemberi pinjaman wang itu. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas