Biz

Pertunjukan fesyen ‘Bulan Bintang Takes The Sky’ diiktiraf Malaysia Book of Records

- Diterbit 21 Februari 2023 4:10 AM MYT

HEBAT dan mengagumkan! Itulah gambaran yang tepat apabila jenama pakaian terkemuka Bulan Bintang dengan kerjasama daripada Menara Kuala Lumpur melakar sejarah dengan mengadakan pertunjukan fesyen, yang diberi nama ‘Bulan Bintang Takes The Sky’.

Gimik yang cukup memukau, Bulan Bintang melakar sejarah dengan menjadi satu-satunya jenama lokal Malaysia yang mempertontonkan pertunjukan dron terbanyak sehingga berjaya tersenarai di Malaysia Book of Records.

PENGASAS Baju Melayu Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records.

Pengasas Baju Melayu Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi berkata, formasi dron yang diterbangkan juga membawa satu kisah perjalanan Bulan Bintang sejak dari mula jenama ini bertapak.

“Kami mahu melakukan kelainan yang tidak pernah dibuat dalam sebarang pertunjukan fesyen. Formasi dron ini dibawa khas dari United Kingdom. Dan saya mendapat inspirasi selepas melihat sendiri kehebatan formasi dron ini ketika bercuti ke luar negara.

“Apa yang dapat saya simpulkan, kos untuk formasi ini sendiri menelan belanja 80 peratus daripada kos keseluruhan,” tuturnya menyatakan kos bagi ‘Bulan Bintang Takes The Sky’ menelan belanja minimum RM2 juta,” katanya.

Pertunjukan fesyen ‘Bulan Bintang Takes The Sky’ ini juga turut menampilkan barisan duta terkemuka untuk tahun ini seperti Shukri Yahaya, Sharnaaz Ahmad, Nadhir Nasar, Beto Kusyairy, Hannah Delisha dan Daiyan Trisha selain daripada persembahan istimewa daripada artis-artis tanah air seperti Dolla, Ernie Zakri dan Syamel.

“Pada tahun ini kami memilih barisan selebriti yang memberi pengaruh kepada masyarakat Malaysia secara keseluruhannya. Kami ada duta di setiap peringkat umur dan berharap Bulan Bintang dapat memberi impak hebat pada tahun ini,” ulasnya kepada media.

PERTUNJUKAN fesyen ‘Bulan Bintang Takes The Sky’ ini juga turut menampilkan barisan duta terkemuka untuk tahun ini seperti Shukri Yahaya, Sharnaaz Ahmad, Nadhir Nasar, Beto Kusyairy, Hannah Delisha dan Daiyan Trisha

Menampilkan koleksi Raya Ready To Wear (RTW) sedondon seisi keluarga yang terdiri daripada 68 rekaan dan 326 pilihan warna eksklusif, Bulan Bintang meletakkan sasaran 1 juta unit terjual sebelum Syawal menjelang.

“Ini merupakan tahun kedua kami memperkenalkan rekaan baju wanita dan saya cukup teruja kerana rekaan tahun ini lebih bervariasi kerana kami punya pereka fesyen sendiri. Dalam Masa yang sama, sudah semestinya rekaan kali ini lebih baik daripada tahun sebelumnya.

“Dan kami lakukan penambahbaikan pada tahun ini dengan tidak meletakkan jenama Bulan Bintang pada baju namun meletakkannya pada butang baju Melayu. Malah zip pada bahagian lengan dibuat bagi memudahkan pemakai mengambil wuduk,” tambahnya.

PERTUNJUKAN fesyen ‘Bulan Bintang Takes The Sky’ meriah!

Mensasarkan jualan 1 juta helai busana terjual, jelas Azzim, dia mensasarkan keuntungan 400 peratus daripada tahun lalu.

“Untuk tahun lepas, kami peroleh hampir RM30 juta untuk jualan hari raya. Dan untuk tahun ini kami sasarkan 400 peratus peningkatan dengan jualan 1 juta unit baju. Jualan akan bermula pada hari ini (18 Februari) dan saya jangkakan baju akan habis terjual sekurang-kurangnya seminggu sebelum raya,” jelasnya lagi.

Acara ini dimeriahkan lagi dengan projection mapping atau juga dikenali sebagai video mapping iaitu teknologi baru yang membawa penonton ke satu dimensi berbeza dan memberikan satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Projection mapping di tiang Menara Kuala Lumpur ini memaparkan gimik dan juga nama-nama jenis koleksi yang dipertontonkan.

Detik bersejarah ini turut menandakan tarikh bermulanya penjualan koleksi Raya 2023 di mana pengguna boleh mendapatkannya dari ejen yang sah atau di butik rasmi Bulan Bintang di seluruh Malaysia.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas