Berita

Insiden pokok tumbang: Polis terima 18 laporan kerosakan kenderaan

- Diterbit 9 Mei 2024 10:51 AM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima sebanyak 18 laporan susulan insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, setakat hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Naazron Abd Yusof berkata berdasarkan laporan tersebut, terdapat 18 kendraaan rosak dalam kejadian semalam.

“Setakat ini, 18 laporan polis telah diterima berkenaan insiden pokok tumbang semalam melibatkan kerosakan sebanyak 18 buah kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Naazron, jumlah mangsa juga kekal sama iaitu sebanyak dua orang membabitkan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Sweden.

“Mangsa lelaki itu telah mendapatkan rawatan kecederaan yang dialaminya namun telah dibenarkan keluar wad hari ini pada pukul 6 pagi tadi.

“Sementara itu, bagi mangsa wanita Sweden terbabit pula, dia masih ditahan di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.

Semalam media melaporkan, sebatang pokok besar tumbang di sekitar Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur ekoran kejadian hujan lebat dan angin kencang yang melanda ibu negara.

Kejadian tersebut difahamkan menghempap landasan monorel serta kenderaan yang berada di sekitar lokasi kejadian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas