Berita

GAPENA disaran guna pentas media baharu hasilkan karya

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 5 Mei 2024 1:40 PM MYT

GABUNGAN Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) disaran menggunakan pentas media baharu seperti media sosial sebagai saluran menghasilkan karya budaya, kesusasteraan dan seni kerana ia dilihat sudah mengambil alih peranan media arus perdana.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pada masa sama, GAPENA turut disarankan agar mewujudkan bentuk latihan kepada generasi baharu sebagai kesinambungan kepada hasil kesusasterawan dulu dan sekarang.

“Saya fikir ia perlu dipertekankan usaha-usaha pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Malah badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti GAPENA dan badan gabungan juga harus diberikan galakan dan bantuan dana untuk mereka lakukan usaha-usaha ini bersama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Rumah GAPENA dan Majlis Aidilfitri bersama-sama penulis di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden GAPENA Datuk Zainal Abidin Borhan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan kerajaan akan membantu GAPENA bagi mendapatkan tanah hak milik kekal agar mereka dapat meneruskan kelangsungan berkarya kesusasterawan, budaya seni dan bahasa negara.

“Tanah ini adalah tanah Kerajaan Persekutuan, dan ia merupakan kuarters kerajaan yang disewakan kepada GAPENA, jadi mereka memohon agar hak milik kekal diberikan kepada GAPENA dan Insya-Allah saya akan membawa perkara ini kepada Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid dalam ucapannya menyarankan rakan-rakan sasterawan beralih ke arah media baharu kerana pentas media konvensional yang digunakan selama ini kepada perjuangan bahasa sastera, seni dan budaya kian terpinggir dari arus komunikasi utama.

“Kita tidak boleh menolak gelombang membadai bukan sahaja alam yang kita berada di dalamnya tetapi alam maya lebih menguasai alam konvensional yang pernah zaman kita lalui. Alam maya adalah satu realiti yang tidak dapat kita tolak,” katanya.

Justeru Ahmad Zahid menyeru semua pihak menggunakan bahan yang ada pada masa kini dengan mencipta portal baharu serta halaman tertentu khusus dalam memperjuangan soal bahasa budaya dan seni serta unsur lain yang ada kaitan dengan GAPENA bagi kesinambunga semua aktiviti itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas