Utama

Persatuan peniaga gesa kerajaan percepat projek pelebaran jalan

|
- Diterbit 11 Disember 2019 11:15 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Projek pelebaran infrastruktur jalan di sepanjang Jalan Selayang Baru, Selangor harus disegerakan selari dengan pembangunan Pasar Harian Selayang dan Pusat Penyembelihan Ayam yang sedang dilaksanakan di kawasan itu.

ROSLI

Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, gesaan itu disuarakan supaya penguatkuasaan tegas dapat diambil terhadap pemilik premis yang menceroboh tanah rizab Selangor dan Wilayah Persekutuan di sepanjang jalan Selayang Baru.

“Ia bagi memastikan projek pelebaran jalan dapat disiapkan segera serentak dengan pembangunan Pasar Harian Selayang dan Pusat Penyembelihan Ayam di kawasan berkenaan.

“Projek pelebaran jalan di kawasan itu terpaksa dihentikan setakat 30 peratus kerana isu percerobohan pemilik bangunan komersial termasuk premis berstatus pasar raya dan kilang yang dibina di atas rizab persempadan antara Kuala Lumpur dan Selangor secara haram lebih sedekad.

“Kita mohon tindakan tegas pihak berkuasa supaya struktur di tanah rizab itu dirobohkan bagi membolehkan projek dapat dilaksanakan secepat mungkin selari dengan dua pembangunan yang dijadualkan siap pertengahan 2021 dan April tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Ujar Rosli lagi, gesaan tersebut disuarakan untuk menampung kelancaran pembangunan ini.

“Jalan dan longkang sedia ada perlu ditambah baik terlebih dulu kerana keadaan di sana teruk selain tidak diselenggara.

“Kami juga berharap agar jalan di kawasan itu ditambah kepada empat lorong kerana keadaan sekarang sesak dengan kenderaan berikutan mempunyai dua lorong sahaja selain terdapat 15 buah kampung,” katanya.

Tambah Rosli, pihaknya telah membuat tiga laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal November lalu untuk menyiasat mengenai masalah pencerobohan berkenaan.

Pihak gabungan tersebut berterima kasih kepada Menteri Wilayah Persektuan, Khalid Abd. Samad dan pihak berkaitan kerana turun padang semalam untuk melihat sendiri kemajuan projek dan permasalahan masyarakat setempat sekali gus membolehkannya diatasi secepat mungkin.

“Ini termasuk isu pencerobohan itu dan kekebalan pemilik premis bakal berakhir dengan tindakan roboh oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam masa terdekat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas