Berita

61 pasangan pengantin dirai Walimatulurus Rahmah 2019

KEWUJUDAN masyarakat bahagia mampu menjadikan sesuatu negara lebih selesa dihuni. Gambar hiasan
- Diterbit 8 Disember 2019 2:21 PM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Seramai 61 pasangan pengantin diraikan dalam Majlis Walimatul ‘Urus Rahmah Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Abdul Aziz Jusoh berkata, kesemua pasangan pengantin ini terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin mualaf dan golongan kurang berkemampuan (B40).

“Pihak MAIWP telah menyediakan skim Bantuan Perkahwinan sebanyak RM 2,000 hingga RM 3,000 kepada yang layak.

“Bantuan itu bertujuan meringankan beban bakal pengantin dalam mengadakan majlis walimatul urus,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Walimatul Urus Rahmah.

Hadir sama memeriahkan majlis, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd. Ajib Ismail.

61 pasangan pengantin diraikan pada Walimtulurus Rahmah Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Dataran Merdeka hari ini. – FOTO:NAZIRUL ROSELAN

Menurut Abdul Aziz, pada tahun ini, pihaknya telah mengambil inisiatif dengan kerjasama Pertubuhan Amal dan Sukarelawan Batu untuk menganjurkan kenduri kahwin beramai-ramai.

“Kos yang ditanggung oleh pihak MAIWP adalah lebih RM400,000 untuk kita-kira 10,000 pengunjung.

“Selain itu, setiap pasangan yang diraikan pada hari ini akan menerima wang tunai RM1,000 kepada setiap pasangan,” katanya.

Tambah Abdul Aziz lagi, bantuan tersebut telah diperkenalkan sejak tahun 2006. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas