Berita

SWIP medan utama pembangunan sukan Wilayah Persekutuan

KHALID (tengah) bersama atlet wilayah persekutuan yang hadir pada Karnival Sukan Wilayah Persekutuan (SWIP) di Arena Universiti Malaya. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 11 Disember 2019 2:15 PM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan merupakan perkara penting yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, pelaksanaan program-program sukan yang dianjurkan Majlis Wilayah Persekutuan (MSWP) adalah satu langkah yang bijak.

“Ia adalah salah satu usaha untuk memastikan pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan berkembang pesat seiring dengan hasrat negara yang mahukan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.

“Selain itu, secara tidak langsung, budaya aktiviti bersukan dan riadah juga dapat diterapkan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya ketika merasmikan karnival Sukan Wilayah Persekutuan (SWIP) fasa kedua di Pusat Sukan Universiti Malaya di sini hari ini.

Fasa kedua yang sedang berlangsung bermula 11 Disember hingga 14 Disember ini menyajikan sukan berkumpulan seperti Sepak Takraw, Bola Keranjang, Bola Tampar Dewan, Tenis dan Sukan Elektronik.

Seramai 426 peserta bertanding merebut gelaran juara pada karnival sukan yang sedang berlangsung ini.

Terdahulu, SWIP fasa pertama berlangsung pada 27 hingga 28 Julai 2019. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas