Artikel

Peniaga tidak amanah

- Diterbit 22 Mac 2024 9:30 AM MYT

SUDAH diberi peringatan dan amaran agar mengusahakan sendiri bazar Ramadan menurut nama yang terpapar dalam lesen. Tetapi tetap degil. Akibat itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak tegas menyerbu bazar Ramadan dan bertindak terhadap mereka yang menggaji pekerja asing.

Dalam operasi pemantauan yang bertumpu di beberapa kawasan di Seputeh, melibatkan Jalan Radin, Jalan Desa Jaya, dan Jalan Impian Indah, enam peniaga bazar Ramadan dikompaun.

Kawan-kawan Kedai Kopi tidak faham sikap segelintir peniaga kerana setelah diberi peluang mendapat lesen, tidak mahu berniaga sendiri dengan menggaji pekerja asing. Mahu lesen tetapi malas bekerja dan biarkan orang lain mencari wang bagi pihak mereka.

Malah difahamkan, ada yang menyewakan terus lesen kepada orang lain untuk memperoleh untung segera sedangkan sedar perbuatan itu menyalahi undang-undang. Memang ramai sedia membayar lesen ‘ali baba’ kerana pulangan berniaga yang diperoleh sangat menguntungkan.

Di kawasan strategik, misalnya di bazar popular Jalan Tuanku Abdul Rahman (JTAR), ada yang sanggup membayar sehingga RM10,000 untuk menyewa lesen. Jika sampai berani membayar begini banyak, unjuran keuntungan tentu berlipat ganda.

Kerana itu bukanlah lebih baik pemilik lesen mengusahakan sendiri bazar dan mengutip keuntungan untuk diri sendiri. Namun sayang, segelintir mereka lebih berminat mendapat wang segera. Jika bersabar berniaga sehingga berakhir Ramadan, untung yang diperoleh berganda banyaknya.

Menyewakan lesen kepada orang lain adalah perbuatan tidak amanah dan menganiaya pemohon lain yang benar-benar mahu berniaga. Ini kerana mereka yang gagal memperoleh lesen terlepas peluang. Yang memperoleh pula tidak minat berniaga dan memberi kepada orang lain.

Kawan-kawan Kedai Kopi percaya DBKL memang memberi perhatian serius mengenai perkara ini. Senang hati apabila DBKL bertegas akan terus menjalankan pemantauan serta dan pemeriksaan di 11 kawasan parlimen Wilayah Persekutuan bagi menangani isu ini.

Memang wajar tindakan tegas diambil terhadap peniaga tidak jujur. Semoga tindakan tersebut akan menjadi pengajaran kepada peniaga lain masa kini dan akan datang.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas