Artikel

Terkena tipu tidak serik

- Diterbit 22 Mac 2024 9:35 AM MYT

SIAPA yang tidak ingin hidup mewah, mempunyai pekerjaan baik dan pendapatan lumayan. Hasrat hati inilah yang mendorong ramai rakyat negara ini ingin mencuba nasib mencari penghidupan di perantauan.

Mereka mudah tertarik apabila ditawar pekerjaan dengan janji memperoleh imbuhan tinggi. Walaupun tidak pasti kesahihan pekerjaan dan gaji ditawar, mereka sedia mengambil risiko. Mereka hanya terfikir mengenai kesenangan hidup.

Memang ada di antara mereka memperoleh pekerjaan dan pendapatan lebih baik dibandingkan di negara ini. Tentunya ia menyeronokkan kerana langkah merantau membuahkan hasil yang diingini demi memperbaiki kehidupan sendiri dan keluarga.

Tetapi malangnya, ramai pula yang tidak mendapat apa yang diharap. Kawan-kawan Kedai Kopi sudah banyak membaca laporan bagaimana rakyat negara ini tertipu dengan sindiket pekerjaan luar negara yang menabur pelbagai janji manis tetapi tidak dikota.

Lain dijanji, lain diperoleh. Jawatan dan gaji ditawarkan lain, yang diperoleh berlainan daripada jangkaan. Akhirnya bukan kesenangan diperoleh, tetapi kesengsaraan kepada diri sendiri, keluarga, malah kepada pihak kerajaan yang terpaksa berusaha membawa mereka pulang.

Yang lebih menghairankan kawan-kawan Kedai Kopi ialah ada di antara mereka pernah tertipu dengan pujuk rayu sindiket tetapi tidak serik. Sudah kena kali pertama tidak beringat, malah sekali lagi masuk perangkap untuk kali kedua.

Kata peribahasa, sekali jalan kena, dua kali jalan tahu. Ertinya jika tertipu atau terpedaya pada kali pertama selepas itu akan beringat agar tidak terkena untuk kali kedua. Pendek kata jangan sampai pisang berbuah dua kali.

Namun ada yang tidak beringat, atau memang sengaja tidak mahu ingat. Maknanya pengalaman pahit yang dilalui tidak dijadikan iktibar agar jangan sampai mengulangi kesilapan sama. Jelas tidak serik, tidak belajar daripada kesilapan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, terdapat sekurang-kurangnya 16 kes di mana rakyat Malaysia yang terperdaya lebih daripada sekali. Mereka antaranya tersadai di Dubai, Thailand, Kemboja, Myanmar, Filifina, malah sehingga ke Peru di Amerika Selatan.

Semua kerana gelap mata dengan tawaran pekerjaan serta pendapatan lumayan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas