Berita

Pengunjung Restoran Sri Utara dan Anjung Ketam diarah buat saringan COVID-19

- Diterbit 30 September 2020 2:55 AM MYT

JABATAN Kesihatan Labuan mengeluarkan arahan kepada pengunjung dua premis makanan Restoran Sri Utara dan Anjung Ketam pada 18 dan 19 September lalu agar menjalani ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Membedai dengan kadar segera.

Arahan tersebut dikeluarkan susulan terdapat individu yang mengunjungi dua premis berkenaan pada tarikh tersebut telah disahkan positif COVID-19 baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, notis arahan tersebut dibuat bertujuan agar memastikan mereka (pengunjung) lain tidak berselisih dengan pesakit pada waktu itu.

“Pihaknya hanya memanggil pengunjung yang mengunjungi Restoran Sri Utara pada waktu sekitar jam 12 tengahari hingga jam 2 petang dan Anjung Ketam pada pukul 7.30 malam sehingga 9.00 malam.

“Pihak kami telahpun mengeluarkan notis arahan kepada sesiapa yang datang ke dua premis tersebut untuk menjalani ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Membedai,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Dalam pada itu, Dr Ismuni turut mengesahkan tidak ada sebarang sekatan dibuat kepada individu mahupun sektor perniagaan ke Labuan susulan kawalan telah diketatkan di setiap pintu masuk ke pulau bebas cukai itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata selaras dengan arahan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baharu Jabatan Kesihatan Labuan telah memperketatkan kawalan di setiap pintu masuk di Labuan.

“Setiap kemasukan individu dari Sabah akan didaftarkan dalam sistem, saringan kesihatan akan dilakukan dan mereka dikuarantin di rumah sehingga keputusan ujian tindak balas rantaian polymerase (PCR) keluar dan disahkan negatif.

“Langkah tersebut perlu dilakukan susulan mereka yang berada di Sabah telah terdedah seterusnya berpotensi untuk menjangkiti orang lain khususnya golongan berisiko”, katanya.

Terdahulu, Labuan telah mencatatkan penambahan kes baharu pada Isnin lalu sebanyak dua kes dan menjadikan keseluruhan kes sejumlah 27 kes positif COVID-19 setakat ini. – OLEH KHAIRUL IDIN – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas