Berita

Malaysia bimbang keselamatan rantau Nagorno-Karabakh

- Diterbit 30 September 2020 2:39 AM MYT

MALAYSIA hari ini menzahirkan rasa bimbang dengan tahap keselamatan yang semakin merosot di rantau Nagorno-Karabakh di Republik Azerbaijan susulan pertempuran sengit tentera terbaru, yang bermula sejak dua hari lepas.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata Malaysia menyuarakan rasa kesal dengan kehilangan banyak nyawa, termasuk orang awam disebabkan pertelingkahan itu.

Menurutnya Malaysia menyertai gesaan oleh komuniti antarabangsa supaya Republik Armenia dan Republik Azerbaijan mengambil langkah maksimum dalam membendung pertelingkahan dan mengambil langkah konkrit bagi mengurangkan ketegangan antara negara berjiran itu.

“Malaysia menggesa pihak yang berkenaan untuk memberi keutamaan kepada usaha menyelesaikan konflik secara aman menerusi dialog dan diplomasi,” katanya.

Menurut kenyataan itu Malaysia menyokong semua usaha bagi mencari penyelesaian secara aman mengikut lunas undang-undang antarabangsa, termasuk resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang berkaitan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas