Berita

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MBSA ditahan SPRM

- Diterbit 14 Ogos 2020 9:34 AM MYT

PENGARAH Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terbabit dalam sindiket melindungi premis perniagaan haram dan pusat perjudian di Sungai Buloh, dekat sini.

Menurut sumber SPRM, suspek berusia 59 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya selepas diambil keterangan pada jam 10 pagi tadi.

“Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” kata sumber itu kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan suspek dan enggan mengulas lanjut.

Hari ini, Bernama melaporkan tiga lagi anggota penguat kuasa MBSA direman untuk membantu siasatan kes menerima rasuah untuk melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh.

Sebelum ini, tular dua klip video dibuat oleh secara langsung oleh pentadbir akaun Facebook Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap premis perniagaan haram dan perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas