Biz

Peneraju mampu elak masalah antara pemaju dan pemilik banglo

PRESIDEN Peneraju, Bill Rohaizan Rahim (hadapan, tiga dari kiri) bersama penerima anugerah di kalangan pemain industri lot banglo sempena majlis Perasmian Malam Peneraju di Putrajaya, baru-baru ini.
- Diterbit 20 Mac 2022 11:18 PM MYT

SEBUAH Persatuan Peneraju Tanah Bumiputera (Peneraju) ditubuhkan untuk dijadikan rujukan dalam kalangan pemain industri lot banglo serta orang ramai telah dirasmikan dalam majlis Malam Peneraju, baru-baru ini.

Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha , Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Azhar Ahmad.

Hadir sama Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Tanah & Pembangunan Koperasi, Prof. Datuk Dr. Nik Mohd Zain Nik Yusof dan Pegawai Daerah & Tanah Petaling, Mohd Jusni Hashim.

PRESIDEN Peneraju, Bill Rohaizan Rahim (hadapan, tiga dari kiri) bersama penerima anugerah di kalangan pemain industri lot banglo sempena majlis Perasmian Malam Peneraju di Putrajaya, baru-baru ini.

Presidennya, Bill Rohaizan Rahim ketika ditemui berkata, sudah sampai masanya pengusaha lot banglo (Peneraju) mempunyai wakil bagi menyuarakan pendapat dan idea kepada  pihak atasan.

“Peneraju diusahakan oleh sekumpulan pengusaha lot banglo di negara ini yang berperanan sebagai orang tengah, tempat rujukan, akademi hartanah dan perumahan.

“Lebih daripada itu Peneraju akan menjadi suara yang mewakili kedua-dua belah pihak sekiranya timbul sebarang tuntutan.

“Melalui kesatuan, kami yakin akan memberi manfaat maksimum kepada masyarakat, pemaju lot banglo dan pihak kerajaan berkaitan hartanah, khususnya tanah rizab Melayu yang kurang dibangunkan,” ujarnya.

Katanya, antara tujuan persatuan tersebut diwujudkan untuk mengelak penipuan oleh sesetengah peneraju lot banglo terutamanya dalam isu lot lidi atau berkongsi geran.

“Ada pembeli yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai tanah lot banglo, tidak mempunyai infrastruktur dan menyalahi undang-undang. Kebanyakan kes lot lidi adalah berpunca daripada kurangnya ilmu dan pendedahan.

“Terdapat juga masalah berkaitan birokrasi tempoh kelulusan permohonan, margin bantuan pinjaman rendah daripada pihak institusi kewangan, kekurangan modal untuk membeli tanah, cara pemasaran tanah lot dan orang ramai yang lebih suka membeli rumah teres,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa simpati terhadap sesetengah pihak yang terpedaya dengan kes pemaju lari daripada urusan menyiapkan lot banglo, tidak membina infrastuktur lengkap tanpa alasan yang kukuh menyebabkan rumah terbengkalai sedangkan duit telah banyak dilaburkan.

Atas tujuan tersebut tambahnya, Peneraju bukan hanya tempat menyelesaikan masalah tetapi juga akan menjadi badan pemantau dan tempat rujukan kepada pembeli dan penjual.

“Diharap dengan kewujudan persatuan, kes penipuan yang berleluasa mampu diselesaikan dalam situasi menang-menang kerana selama ini belum ada persatuan yang membela nasib mereka.

“Langkah terbaik pembeli lot banglo merujuk kepada persatuan untuk mendapatkan khidmat nasihat terlebih dahulu.

“Peneraju akan memberi pendidikan dan pendedahan kepada masyarakat ilmu bina kediaman atas lot banglo dan bukannya setelah ditimpa masalah mereka akan menyalahkan sebelah pihak sahaja,” katanya.

Tambahnya, melalui Peneraju akan dibawa isu-isu berbangkit kepada pihak yang sering berurusan dengan mereka seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pejabat tanah dan kementerian berkaitan supaya wujud solusi menanganinya dan menguntungkan semua pihak.

“Peneraju juga akan berperanan sebagai akademi konsultan tanah untuk memberi bimbingan kepada sesiapa sahaja yang berminat menceburi bidang hartanah dan pembinaan lot banglo geran individu.

“Banyak segmen yang akan ditawarkan termasuk berkongsi ilmu hartanah serta memberi nasihat kepada pemilik tanah yang ingin membangunkan aset mereka. Peneraju juga membuka peluang kepada pelabur yang berminat untuk membantu menyemarakkan lagi industri lot banglo di negara ini,” ujarnya.

“Dalam kalangan pembeli pula mereka akan didedahkan dengan ilmu membeli tanah lot banglo dan membina kediaman. Ini termasuk langkah awal mendapatkan informasi sebanyak mungkin daripada pihak yang dipercayai terlebih dahulu kemudian membandingkan harga lot banglo dan infrastruktur yang disediakan,” ujarnya.

Peneraju boleh dihubungi melalui talian 012-9582210 atau akaun Instagram: Persatuan Peneraju. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas