WK2

Aktiviti menarik menanti anda

PIT stop di Anjung Floria merupakan kawasan strategik yang telah dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai tempat persinggahan kepada pengunjung.
- Diterbit 21 Mac 2022 4:27 AM MYT

KEINDAHAN sisiran Tasik Anjung Floria yang bertempat di Presint 4, Putrajaya menjadikan ia destinasi pilihan penduduk setempat dan pelancong dari luar untuk menjalankan pelbagai aktiviti santai.

Kunjungan Wilayahku baru-baru ini mendapati pelbagai aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh pengunjung di sepanjang sisiran tasik Anjung Floria antaranya adalah memancing, berkelah, aktiviti rekreasi air seperti berkayak dan bot kawalan jauh.

Selain daripada itu, tarikan yang mengujakan di sini adalah ia turut terletak berhampiran dengan kemudahan permulaan pit stop laluan basikal di Putrajaya. Pit stop di Anjung Floria merupakan kawasan strategik yang telah dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai tempat persinggahan kepada pengunjung.

Tapak yang strategik dari segi kedudukan yang berhubung dengan sisiran Tasik Putrajaya, laluan sikal dan pejalan kaki sisiran tasik serta laluan cruise turut menawarkan pelbagai kemudahan asas yang diperlukan oleh penggemar sukan berbasikal terutama dalam acara-acara berkumpulan seperti Cyclist Cafe, parkir kereta, tandas awam, surau dan tempat rehat.

Bagi menenangkan fikiran, pengunjung juga berpeluang ke cawangan kedua Garden Shop yang terletak di Anjung Floria. Ia menawarkan pelbagai jenis pokok dan tumbuhan dengan harga berpatutan.

Bukan itu sahaja, Garden Shop turut menawarkan operasi penjualan tanaman landskap, anak pokok buah-buahan, sayuran, peralatan perkebunan dan juga hasil sampingan taman seperti kompos.

Inisiatif yang dilaksanakan ini mengambil kira trend terkini masyarakat yang semakin cakna dengan keindahan landskap, aktiviti bercucuk tanam dan berkebun serta mengamalkan cara hidup yang lebih sihat melalui amalan ‘Kebun Bandar’.

Dengan adanya pelbagai fasiliti dan aktiviti di Pit Stop@Anjung Floria, ia dapat menarik lebih ramai pengunjung datang ke Putrajaya untuk melakukan pelbagai aktiviti riadah santai serta rekreasi secara individu atau bersama keluarga dan rakan-rakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas