Berita

Penduduk rayu selamatkan Padang Majal

HAKISAN pantai sepanjang dua kilometer menyebabkan kerosakan kepada padang awam.
- Diterbit 22 Mac 2024 10:05 AM MYT

PENDUDUK Kampung Pohon Batu di sini menyuarakan rasa kebimbangan terhadap nasib padang awam yang dikenali Padang Majal berdekatan dengan pantai Pancur Hitam yang berisiko musnah diancam hakisan pantai jika tiada sebarang tindakan segera menangani isu itu.

Menurut Ketua Kampung Pohon Batu, Haryadi Omar, kejadian hakisan pantai di kampung itu khususnya di kawasan Padang Majal telah berlanjutan sejak lima tahun lalu dan ia semakin kritikal berikutan perubahan cuaca yang tidak menentu.

“Hakisan di pantai ini telah berlaku sejak lima tahun lalu dan setiap tahun saya akan meninjau dan memerhatikan hakisan ini. Namun pada awal tahun ini, saya mendapati ia semakin kritikal kerana telah meruntuhkan sebahagian kecil kawasan padang majal ini,” katanya baru-baru ini.

Menjelas lanjut, Haryadi berkata dahulunya kira-kira 10 tahun lalu pantai ini memiliki kawasan pesisir kira-kira enam hingga 10 meter daripada paras laut.

“Jika dibandingkan pada ketika ini, boleh dikatakan kawasan ini telah kehilangan 90 peratus pasir pantai dan banyak pokok-pokok di sekitar pesisir pantai ini telah musnah akibat hakisan.

“Bagi saya perkara ini amat serius kerana ianya bukan sahaja memusnahkan harta benda awam akan tetapi berisiko mengancam keselamatan pengguna padang ini pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Haryadi, masalah yang membelenggu penduduk kampung selama ini telah menyebabkan kesukaran khususnya golongan muda berikutan sebuah gelanggang futsal di kampung tersebut telah musnah ditimpa pokok kerana hakisan pantai.

“Saya pernah menyuarakan isu mengenai kerosakan gelanggan futsal yang berdekatan pantai itu yang sebelum ini turut menerima nasib yang sama dan kini anak muda kampung ini terpaksa pergi ke tempat lain untuk bermain futsal,” katanya.

Haryadi berkata perkara itu telah dibawa dan diusulkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk memohon tindakan segera bagi menangani isu tersebut, namun setakat ini belum ada tindakan susulan yang diambil.

“Isu ini telah banyak kali saya suarakan kerana ia perlu ditangani segera demi mengelakkan padang awam dan kemudahan lain yang disediakan kerajaan menerima nasib seperti gelanggang futsal,” katanya.

Kata Haryadi lagi, pihaknya juga telah memperolehi sebuah projek daripada kerajaan untuk kerja-kerja naik taraf melibatkan pemasangan lampu di kawasan padang ini.

“Jika masalah ini tidak ditangani segera, tidak mustahil kemudahan lampu ini juga bakal musnah dan akan menyebabkan penduduk kehilangan kemudahan itu sekali gus merugikan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Belia Labuan (MBL) Nizam Kasmat, 43, berkata isu hakisan pantai berdekatan dengan padang awam itu perlu ditangani segera kerana Padang Majal ini turut digunakan oleh agensi kerajaan dalam melaksanakan aktiviti.

“Ia bukan sahaja digunakan oleh penduduk kampung malahan banyak juga jabatan-jabatan kerajaan yang menganjurkan program sukan seperti pertandingan bola sepak dan sebagainya.

“Oleh itu, padang ini amat penting kepada penduduk di pulau ini dan kami tidak mahu padang ini terancam disebabkan oleh hakisan pantai yang semakin kritikal,” katanya.

Bagi penduduk kampung, Mohd Izuandi Jalaludin, 40, langkah yang diambil kerajaan menerusi kaedah menambak kawasan pantai yang terhakis sejak 10 tahun lalu dilihat tidak berkesan memandangkan hakisan masih berlaku.

“Pembinaan benteng pemecah ombak merupakan idea yang bagus namun kita sedar ia memerlukan kos yang tinggi. Selain itu, fasiliti yang rosak seperti gelanggang futsal juga perlu dinaiktaraf semula supaya ia dapat digunakan dan dimanfaatkan penduduk,” katanya.

Tinjauan Wilayahku di kawasan tersebut mendapati kesan hakisan sepanjang dua kilometer pantai di kampung itu yang semakin kritikal dan berisiko untuk memusnahkan strukutur yang ada jika tidak diselenggara dengan segera. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas