Berita

Peniaga Pasar Sentral dapat diskaun 50 peratus

- Diterbit 22 Mac 2024 10:10 AM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) telah memberikan diskaun 50 peratus kadar sewa meja pasar awam dan premis niaga di Pasar Sentral UTC Labuan dan sekitarnya bagi tempoh 12 bulan bermula Januari sehingga Disember tahun ini.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan (PL) Simsudin Sidek berkata PL telah memperuntukkan sebanyak RM425,580 bagi pemberian diskaun untuk tahun ini membabitkan  lebih 500 lot meja peniaga di pasar itu

“Pemberian diskaun untuk kali ini akan memberi manfaat kepada 339 lot membabitkan 223 meja sayur dan buah, 90 meja ikan, 14 meja daging dan 12 meja ayam di Aras Bawah yang membabitkan peruntukan sebanyak RM61,020.

“Manakala 178 unit premis di Aras 1 dan 2 turut mendapat manfaat yang sama melibatkan pemberian diskaun sebanyak RM364,560,” katanya baru-baru ini.

Simsudin berkata pihaknya sentiasa peka dan mendengar masalah yang disuarakan oleh
para peniaga di pusat itu berikutan kekurangan pengunjung yang sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.

“Ramai peniaga menyuarakan pada hari bekerja Pasar Sentral ini agak sunyi dan kurang pengunjung dan di pihak PL ketika ini sedang merancang pelbagai program untuk dilaksanakan di kawasan ini agar ia dapat menarik lebih ramai pengunjung berkunjung ke sini.

“Seperti yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustaffa pada tahun ini lebih 90 program bakal dilaksanakan di Labuan dan daripada program-program itu kita akan cuba untuk menjadikan pasar ini sebagai tempat pelaksanaan program yang bersesuaian,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas