Berita

Penduduk Kampung Baru dakwa terima pampasan rendah kurang tepat – Shahidan

SHAHIDAN (dua kiri) ketika Program Penyerahan Pushcart Shopeepay kepada penjaja di Taman Metropolitan Kepong di sini hari ini. SHAHIDAN (dua kiri) ketika Program Penyerahan Pushcart Shopeepay kepada penjaja di Taman Metropolitan Kepong di sini hari ini.
- Diterbit 6 Disember 2021 1:03 PM MYT

JUMLAH pampasan yang diterima penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru yang didakwa kurang daripada RM250,000 adalah tidak tepat, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Jelasnya, pampasan sebenar adalah lebih tinggi daripada nilai itu dan ia akan dimaklumkan kepada penduduk selepas mereka bertemu dengan pemaju dalam satu pertemuan yang akan diatur dalam minggu ini.

“Jika (penduduk) tidak puas hati boleh berjumpa dengan saya bukan bercerita di media sosial. Ia tidak dapat menyelesaikan masalah.

“Fakta yang diceritakan tidak betul, tentang pampasan yang diterima sebenarnya adalah lebih tinggi namun akan dimaklumkan selepas penduduk dipertemukan dengan pemaju dalam pertemuan kedua nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyerahan Pushcart Shopeepay kepada penjaja di Taman Metropolitan Kepong di sini hari ini.

Menurut Shahidan, kira-kira 68 peratus penduduk Flat PKNS itu telah menandatangani persetujuan berkenaan projek pembangunan kawasan itu.

“Untuk kawasan rumah teres itu, saya masih mendapatkan maklumat saya,” katanya.

Shahidan berkata, pihaknya telah meminta proses pendengaran kedua ditangguhkan bagi membolehkannya bertemu dengan semua pihak.

“Saya baharu menyandang jawatan Menteri Wilayah dan akan selesaikan masalah ini dengan terbaik. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Sabtu lalu, sekumpulan penduduk rumah flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kampung Sungai Baru menyuarakan bantahan berhubung isu pampasan rendah yang diterima.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas