Berita

Program Teh Hijau Kuala Lumpur: Bantu peniaga raih pendapatan sampingan

ZALIHA menyampaikan botol kosong kepada peniaga pada Program Teh Hijau Kuala Lumpur.
- Diterbit 22 Mac 2024 9:10 AM MYT

SELARAS dengan visi utama kerajaan dalam menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai Eco-Friendly City, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menganjurkan Program Waste to Wealth sebagai langkah dalam menyokong usaha peralihan komuniti ke arah masyarakat rendah karbon.

Justeru itu, menerusi acara yang dianjurkan di bawah Program Teh Hijau Kuala Lumpur edisi Ramadan, para peniaga bazar di sekitar Perkarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur telah diberi botol kosong untuk mengisi minyak masak terpakai.

Botol tersebut diberikan sebagai salah satu langkah kepada peniaga untuk menguruskan sisa pepejal dengan baik di samping membantu peniaga meraih pendapatan sampingan.

Salah seorang peniaga, Hatirah Halim, 22, berkata langkah itu seharusnya dilakukan oleh setiap peniaga memandangkan minyak masak tersebut boleh dikitar semula untuk pelbagai cara.

“Minyak masak merupakan bahan masakan utama dalam penyediaan makanan. Saya akui, amalan yang biasa dilakukan oleh segelintir masyarakat adalah dengan membuangnya selepas selesai digunakan.

“Hakikatnya, sisa minyak masak tersebut boleh dikitar semula sebagai bahan biodiesel dan dapat mengelakkan daripada berlakunya pencemaran kesihatan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata Program Food Waste to Wealth diadakan bagi menyokong usaha peralihan komuniti ke arah masyarakat rendah karbon.

“Kami turut agihkan botol-botol kosong kepada peniaga di sekitar bazar Ramadan di sini supaya mereka boleh kumpul minyak masak yang digunakan untuk dikomersialkan.

“Sekiranya peniaga tersebut jual semula minyak masak terpakai, kami akan beli dengan harga RM2.70 sekilogram.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu para peniaga untuk menjana pendapatan sambilan dan juga sebagai galakan supaya orang ramai tidak membuang minyak masak terpakai begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media Program Teh Hijau Kuala Lumpur edisi Mac 2024 di Perkarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh serta Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.

Pada program tersebut, turut diedarkan 37 periuk bubur lambuk dan 37 kawah dodol kepada pengguna jalan raya dengan melibatkan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PEMADAM), komuniti dari seluruh kawasan Parlimen Kuala Lumpur serta warga kerja DBKL seramai 1,000 orang.

Selain itu, DBKL turut menganjurkan Bazar Percuma dengan tema Ihsan Ramadan iaitu pengagihan barangan terpakai meliputi pakaian, aksesori, kasut dan permainan kanak-kanak kepada 750 orang penerima di mana barang-barang tersebut merupakan sumbangan daripada warga kota serta warga kerja DBKL yang telah dikumpulkan bermula 26 Februari hingga 13 Mac lepas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas