Fokus

Penantian penuh siksaan

- Diterbit 8 April 2024 4:03 PM MYT

MEMASUKI 10 Ramadan terakhir mengundang sebak kepada Nor (bukan nama sebenar), 40, kerana bakal meraikan lebaran kali ke-9 tanpa kaum keluarga setelah dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun sejak 2015.

Lebih memilukan dia terlalu merindui dua orang anaknya yang kini berusia 19 dan 15 tahun selain begitu terkilan kerana tidak mampu menyediakan keperluan mereka seperti dahulu.

“Kedua-dua anak saya jarang datang ke sini kerana mereka masih belajar tetapi kami selalu berhubung melalui wartel. Saya sentiasa rindu nak peluk, cium dan jaga mereka kerana ketika ditahan, mereka masih kecil dan kami tidak banyak masa bersama.

“Walaupun mereka sudah besar dan pandai jaga diri tetapi seandainya diberi peluang, saya nak uruskan pakaian mereka termasuklah emak dan ayah seperti dahulu.

“Hampir setiap tahun, apabila saya sudah pandai menjahit hasil didikan pegawai di sini menerusi bengkel jahitan, saya berazam nak jahit sendiri baju untuk mereka‚” katanya sambil menangis.

Tambahnya, kenangan yang paling dirindui adalah masakan ibunya selain memasak dan mengemas rumah bersama-sama adik-beradik lain. Biasanya saya yang akan sediakan juadah di pagi raya tapi dekat sini orang yang sediakan (pegawai dan penghuni penjara).

“Saya rindu sangat nak bersalam dan memohon ampun kepada keluarga di pagi raya. Kalau di sini, kami tetap meraikan ketibaan Syawal namun sudah pasti perasaannya tidak akan sama seperti dahulu‚” ujarnya.

Tambahnya, meskipun suasananya berbeza namun dia tetap bersyukur meraikannya bersama pegawai dan penghuni penjara yang lain.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri saya ucapkan kepada semua ahli keluarga terutama ibu bapa dan anak-anak saya. Terimalah saya seperti mana dahulu‚” luahnya sebak.

DIKHIANATI RAKAN BAIK

IBU tunggal ini mengakui kesilapan terbesar dalam hidupnya adalah kerana terlalu mempercayai rakan baik lebih daripada keluarga sendiri sehinggakan dia dijadikan kambing hitam untuk menutupi kesalahan rakannya itu.

“Saya tidak ramai kawan dan hanya dia sahajalah yang saya letakkan sepenuh kepercayaan sehingga dikhianati apabila dia meletakkan dadah di dalam kenderaan milik saya.

“Dia selalu pinjam kereta dan tanpa saya sangka, dia gunakan kereta itu untuk bawa dadah. Semuanya terbongkar apabila saya ditahan ketika membawa kereta tersebut bersendirian.

“Nasib tidak menyebelahi kerana hanya saya yang berada dalam kereta waktu itu selain kenderaan tersebut juga milik saya‚” ujarnya yang tidak sanggup mengenang peristiwa hitam itu.

Setelah semuanya berlaku namun dia bersyukur kerana keluarga masih dapat menerima dirinya malahan bapanya tidak henti memberi sokongan sejak dari mula dia ditahan sehingga ke hari ini.

“Ayah selalu cakap baik dan buruk diri ini saya tetap anak kandungnya. Dia juga pesan jangan tunjuk kesalahan kepada orang lain sebaliknya sentiasa sabar, berdoa dan memohon pertolongan Allah‚” katanya yang sering menerima kunjungan keluarga.

Memasuki tahun ke-9 meraikan Aidilfitri di sini, Nor berharap dapat bertemu anak-anaknya yang kini dijaga bekas suami.

“Saya banyak sangat kehilangan masa yang sepatutnya ada bersama mereka. Saya tak kisah kalau tiada kawan tapi sangat kisah sekiranya ahli keluarga buang diri ini. Saya harap mereka akan sentiasa beri sokongan dan terus mendoakan saya menjadi lebih baik daripada yang terbaik.

“Begitu juga dengan masyarakat di luar janganlah memandang serong dengan banduan. Mungkin dulu kami tak baik tapi kami berusaha untuk menjadi lebih baik‚” ujarnya mengakhiri perbualan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas