Fokus

Sesal sepanjang hayat

WARTAWAN Wilayahku berpeluang menemu bual salah seorang banduan
- Diterbit 8 April 2024 4:04 PM MYT

MENJELANG Aidilfitri, terasa semakin sesak dada Fiza (bukan nama sebenar), 40, kerana menanggung rindu yang tidak pernah berpenghujung terhadap keluarga tercinta.

Menginjak tahun ke-12 meraikan Aidilfitri di sebalik tembok besi, hanya air mata yang menemani diri tatkala terdengar alunan takbir raya yang meruntun jiwa.

Satu persatu kenangan bermain segar di ingatan seolah-olah baru semalam dia dan keluarga membuat persiapan mencari baju raya, mengemas rumah dan membuat kuih raya.

Masih terdengar hilai tawa emak, ayah dan adik-beradik lain teruja meraikan lebaran bersama-sama.

Namun, dia sedar itu hanyalah kenangan yang tidak mungkin dapat diulang kembali.

Sejak dijatuhi hukuman penjara pada tahun 2012, rutin hariannya berubah, kedatangan Syawal hanya diraikan bersama pegawai dan rakan-rakan di penjara. Biarpun sukar untuk menerima hakikat, namun kini dia sedar hanya mereka sahajalah yang menjadi teman mengharungi suka dan duka.

“Kehidupan di dalam penjara sama sekali berbeza dengan kehidupan di luar. Kalau dulu, saya dapat keluar mencari baju raya dengan adik-beradik, sembang nak masak apa dan nak raya ke mana. Saat-saat itulah yang dirindui tapi peluang itu dah tak ada dan semuanya hanya tinggal kenangan.

“Andai diberi peluang untuk keluar lebih awal daripada tempoh tahanan, ia satu keajaiban buat saya kerana itulah perkara yang tidak disangka dan dinanti-nantikan kerana dapat pulang ke pangkuan keluarga‚” luahnya sebak.

Lebih memilukan, Fiza berkata perkara pertama yang ingin dilakukan jika dibebaskan adalah mahu menziarahi pusara ibu bapanya selain tekad untuk berubah menjadi lebih baik.

“Ayah meninggal dunia ketika saya sedang menjalani hukuman dan apa yang memilukan, saya tidak dapat ziarah kubur arwah.

“Kalau diberi kesempatan, saya nak sangat ziarah kubur arwah dan emak selain balik rumah minta maaf dan peluk semua adik-beradik‚” ujarnya sedih.

Ditanya rutinnya menjelang Aidilfitri, Fiza berkata dia dan banduan lain melaksanakan tugas yang telah ditetapkan mengikut bahagian pekerjaan masing-masing.

“Saya bekerja dalam sektor masakan, jadi perlu menyiapkan tempahan biskut raya daripada pelanggan. Sekarang sedang sibuk menyiapkan tempahan. Antara biskut raya yang kami buat tart nanas, almond London, cornflakes crunchy, suji salju dan banyak lagi‚” katanya.

Dalam masa yang sama, mereka juga berpuasa selain tidak ketinggalan melakukan ibadah lain seperti solat tarawih, tadarus Al-Quran dan sebagainya.

GELAP SEPANJANG ZAMAN

KEHIDUPAN yang dilalui di penjara cukup membuatkan sesiapa sahaja mampu menyesali kesilapan yang pernah dilakukan. Setiap hari, Fiza mengakui berperang dengan emosi untuk menerima hakikat apa yang telah terjadi.

Dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun atas kesalahan membunuh tanpa niat membawa penyesalan yang tak sudah buat dirinya.

Mengimbau memori duka tersebut, Fiza berkata kejadian
yang berlaku ketika usia 28 tahun telah menggelapkan masa
depannya.

“Saya ada perselisihan faham dengan ibu tiri sehingga membawa kepada pergaduhan. Ketika itu juga saya ada masalah dengan keluarga, saya berasa marah sehingga tidak sedar telah menyebabkan kematiannya.

“Sepanjang hayat memang saya menyesal dengan apa yang saya buat sebab dalam waktu yang singkat terjadilah perkara itu sehingga membawa saya ke tempat ini‚” ujarnya yang berasal dari Klang.

Menurut Fiza, dia sepatutnya dijatuhi hukuman gantung sampai mati namun terlepas selepas permohonan rayuan diterima.

“Banyak perkara yang saya belajar semasa berada di sini dan dapat perbaiki diri juga dari segala sudut. Allah makbulkan doa saya untuk dikurangkan hukuman.

“Alhamdulillah saya rasa seperti insan baru yang diberi peluang untuk menjadi manusia yang lebih baik‚” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas