Berita

Pembinaan MRSM Labuan diteruskan

- Diterbit 24 Oktober 2022 4:18 AM MYT

PEMBINAAN Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Labuan yang dibatalkan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH), akan diteruskan semula, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya pembinaan MRSM itu telah diluluskan pada tahun 2015, namun ia telah dibatalkan oleh PH.

“Ketika PH ambil alih pemerintahan kerajaan persekutuan, mana-mana projek yang  telah diluluskan oleh BN telah di batalkan, saya tak tahu sama ada  pembinaan MRSM ini di batalkan atau ada masalah lain.

“Jadi hari ini (Ahad) saya telah bawa Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Mahdzir Khalid dan mengarahkan supaya projek itu diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis  Amanat Jelajah Keluarga Malaysia di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail.

Dalam pada itu, Ismail turut mengulas mengenai isu kenaikan harga tambang feri roro Labuan -Menumbok sebanyak 42.5 peratus yang dilaksanakan pada 1 November ini ditangguhkan pelaksanaannya.

“Saya telah menghubungi Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong untuk mencadangkan kepada syarikat Labuan Mainlink agar menangguhkan pelaksanaan itu,” katanya.

Terdahulu, Ismail turut berkesempatan menyampaikan sumbangan Keluarga Malaysia kepada beberapa persatuan, madrasah pada Majlis Amanat Jelajah Keluarga Malaysia yang dihadiri lebih 2,500 orang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas