Berita

Pembangunan Kampong Bharu 2019 sukar diteruskan – KWP

DUDUKAN Kampung Baru yang terletak di tengah bandar Kuala Lumpur memerlukan pembangunan terancang tanpa meminggirkan penduduk setempat.
- Diterbit 28 Ogos 2020 2:04 PM MYT

PEMBANGUNAN semula Kampung Baru secara komprehensif seperti dirancang mengikut Pelan Konsep Pembangunan Kampong Bharu Tahun 2019, didapati sukar diteruskan kerana ia tidak mendapat persetujuan 100 peratus pemilik tanah dengan hanya 61 peratus sahaja bersetuju.

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dalam kenyataan pada Jumaat berkata, tawaran pembelian tanah RM1,000 sekaki persegi (RM850 tunai dan RM150 saham Syarikat Tujuan Khas (SPV) melibatkan kos pembelian tanah sangat tinggi dianggar RM7.4 bilion dan kos-kos lain mencecah hampir RM10 bilion.

Justeru itu katanya, KWP kini telah pun merangka pendekatan pembangunan baru untuk tempoh 20 tahun akan datang sepertimana ditetapkan Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040.

“Halatuju baharu pembangunan Kampung Baru ini adalah lebih realisitik dan boleh dilaksana melalui pendekatan pembangunan lebih fokus mengikut kawasan keutamaan dan turut mengambil kira kompleksiti sesuatu kawasan bagi memenuhi keperluan pembangunan di Kampung Baru.

“KWP secara serius akan melaksanakan dengan segera perkara-perkara berikut iaitu:
(i) Menaiktaraf infrastruktur jalan-jalan utama di Kampung Baru termasuk Jalan Raja Uda, Jalan Raja Muda Musa, Jalan Mahmud, cadangan bypass Jalan Raja Alang ke Jalan Raja Uda dan penjajaran semula Jalan Datuk Abdul Malik,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, cadangan lain dilaksanakan termasuk membina susur keluar-masuk lebuhraya AKLEH ke Jalan Hassan Salleh, Jalan Sungai Baru serta pembinaan lebuhraya DUKE 2A memasuki Kampong Bharu; melaksana pembangunan secara berfasa mengikut keutamaan blok-blok pembangunan telah dikenal pasti dan mengambil kira lot-lot tanah yang telah mendapat persetujuan pemilik.

Menurut KWP, kaedah pembangunannya sama ada melibatkan secara langsung kerajaan melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau secara usahasama oleh pemilik tanah dengan pemaju swasta atau dimajukan sendiri oleh pemilik tanah secara organik dengan insentif-insentif tertentu.

Jelas kenyataan tersebut lagi, Perbadanan Kampung Bharu (PKB) selain berperanan sebagai fasilitator melancarkan pelaksanaan pembangunan, fungsi PKB akan turut dipertingkatkan di masa hadapan supaya boleh berperanan sebagai pemaju projek pembangunan hartanah di Kampung Baru.

“Dalam usaha menjayakan pembangunan semula Kampung Baru, suara dan harapan pemilik dan pewaris tanah supaya kampung tradisi ini dapat dibangun sebagai pusat komersial dan lokasi penempatan Melayu di pusat bandaraya Kuala Lumpur akan tetap diberi perhatian oleh kerajaan di mana segala pandangan dan cadangan pemilik dan pewaris tanah akan diambil kira,” jelasnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas