Berita

Kompas baru Wilayah Persekutuan

perasmian ‘Wilayah Prihatin’.
- Diterbit 28 Ogos 2020 1:57 PM MYT

KONSEP Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin yang digagaskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa akan menjadi dasar penting dan terperinci bagi membantu dan menyelesaikan masalah warga kota di masa hadapan.

Melalui 13 bidang yang digariskan bakal menyaksikan Wilayah Persekutuan lebih dinamik tanpa meminggirkan mana-mana pihak melalui kerjasama antara agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.

13 bidang utama tersebut juga akan menjadi payung kepada dasar, program dan perkhidmatan yang dilaksanakan untuk kumpulan sasaran sekali gus menjadi kompas baru hala tuju Wilayah Persekutuan.

Penjenamaan konsep Wilayah Persekutuan ‘Wilayah Prihatin’ yang dilancarkan Selasa lalu merangkumi 13 bidang kecaknaan utama yang akan menjadi dasar, program dan perkhidmatan yang dilaksanakan secara bersasar kepada warga kota.

13 bidang terbabit ialah perumahan, usahawan, gelandangan, kemiskinan, keselamatan, pendidikan, perpaduan, keindahan, kebersihan, sukan, asnaf, kehijauan dan seni budaya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, penjenamaan itu bertujuan menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai wilayah yang prihatin terhadap rakyat dan alam sekitar melalui sikap, budaya dan pentadbiran Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan agensi di bawahnya.

“Penjenamaan Wilayah Persekutuan: Wilayah Prihatin bagi menanam satu budaya kerja dalam kalangan warga KWP dengan mengamalkan pendekatan berasaskan kejujuran hati nurani.

“Ini satu proses pembudayaan kerja yang sangat penting yang akan disusuli dengan pengisian program-­program dan tindakan-tindakan yang memberi perhatian kepada permasalahan rakyat dan penekanan kepada aspek-aspek yang tertentu dalam kita memajukan dan membangunkan Wilayah Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi Townhall bersama warga kerja KWP pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Santhara; Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Noor Hisham Ahmad Dahlan; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hasim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman.

Menurut Annuar, untuk kluster Cakna Usahawan, pihaknya kini sedang mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat Akie Burger Malaysia yang akan membuka peluang kepada 200 orang yang berminat mengusahakan perniagaan burger di sekitar Kuala Lumpur.

“Agrobank akan memperuntukkan bantuan modal sebanyak RM3 juta untuk 200 individu yang berminat dan mereka akan dibimbing oleh Akie Burger manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pula akan mempermudahkan dengan memberi lesen dan menyediakan lokasi yang bersesuaian.

“Kalau ada yang nak buat burger, hanya bayar RM208 sebulan. Mereka hanya datang belajar buat burger dan jual.

Kita akan sediakan semua kemudahan termasuk gerai dan pembiayaan awal,” katanya, menambah permohonan terbuka kepada semua warga Malaysia.

Annuar berkata, bagi kluster Cakna Perumahan kementerian bercadang membangunkan semula Perumahan Awam yang telah berusia lebih 30 tahun dan usang di Flat Sri Labuan di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

“Seramai 395 pemilik rumah di Flat Sri Labuan yang rumahnya berkeluasan hanya 400 hingga 500 kaki persegi akan diberikan rumah tiga bilik yang baharu dan lebih luas tanpa perlu membuat apa-apa bayaran.

“Rumah baharu ini yang terletak berdekatan rumah lama mereka dijangka siap hujung tahun ini,” katanya.

ANNUAR beramah mesra bersama kakitangan KWP selepas majlis perasmian ‘Wilayah Prihatin’.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas