Berita

Karnival Penjana tawar 1,038 peluang kerjaya

- Diterbit 28 Ogos 2020 2:08 PM MYT

KARNIVAL Penjana Kerjaya Merdeka 2020 bakal berlangsung 29 Ogos ini di Dewan Kompleks Tun Abd Ghafar Baba, Seputeh dijangka menawarkan 1,038 peluang pekerjaan untuk pelajar lepasan SPM, Diploma dan Sarjana Muda.

Bermula seawal 9 pagi sehingga 4 petang, karnival dianjurkan Perkeso Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Seputeh itu, bakal menampilkan 13 Majikan berdaftar dengan Perkeso dalam pelbagai bidang pekerjaan.

Penganjuran karnival ini bertujuan meningkatkan kadar kebolehpekerjaan di dalam kalangan warga kota yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19, seterusnya membuka peluang kepada sesiapa yang berkelayakan.

Sementara itu, penganjur mengingatkan kepada pengunjung yang hadir supaya mematuhi SOP ditetapkan dan wajib memakai pelitup muka.

Hanya calon terlibat sahaja dibenarkan masuk ke kawasan Karnival manakala kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak dibenarkan hadir.

Selain itu, setiap calon yang hadir diingatkan agar membawa resume dan sijil-sijil berkaitan sebagai rujukan di samping perlu berpakaian sesuai bagi memenuhi keperluan sesi temuduga.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas