Artikel

Pemain berpengalaman ke Sukan SEA 2019

BARISAN pemain berpengalaman yang dihantar untuk Sukan SEA 2019.
BARISAN pemain berpengalaman yang dihantar untuk Sukan SEA 2019.
- Diterbit 23 Ogos 2019 5:07 AM MYT

PUTRAJAYA – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran dua emas selepas menyenaraikan 20 pemain yang bakal mewakili negara mengharungi Sukan SEA 2019 Filipina, yang akan membuka tirai pada 30 November ini.

Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia mendahului senarai tersebut, termasuk pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, Goh Jin Wei, selain Lim Chong King dan Aidil Sholeh Ali Sadikin, yang masing-masing akan membuat penampilan sulung.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, pihaknya menyenaraikan pemain berpengalaman bagi mengetuai barisan atlet muda dan pelapis untuk menggalas cabaran Malaysia di Sukan SEA.

“Pertandingan ini sebagai platform untuk pemain mengetahui tahap dan jangkaan mereka, demi membawa pulang kejayaan. Kami ingin memberi pendedahan kepada pemain dari peringkat awal agar mereka boleh bersedia untuk menghadapi pentas seterusnya.

“Mereka (Chong King dan Aidil) mendapat tempat ke Sukan SEA selepas membuktikan kemampuan dalam beberapa pertandingan sebelum ini. Kami mahu mempercepatkan perkembangan mereka dengan meraih pengalaman berharga di pentas yang besar.

“Sasaran kami adalah dua emas. Ia sememangnya tugas yang berat dan bukan mudah untuk meraihnya. Namun kami mahu mencapai objektif terhadap cabaran yang akan digalas oleh kedua-dua pemain, termasuk pasukan kejurulatihan,” kata Choong Hann.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas