Artikel

Mulhim tekad pamer aksi luar biasa

MUALIM fokus hantaran bola.
MUALIM fokus hantaran bola.
- Diterbit 23 Ogos 2019 5:06 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

PEMAIN Kuala Lumpur FA, Mulhim Muqri Faisal, 21, berjanji akan ber­usaha lebih dengan mempamerkan aksi bermutu bagi memastikan dirinya layak tersenarai sebagai 14 pemain untuk beraksi di Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019 di Vietnam nanti.

Biarpun masih baharu dalam pasukan senior kebangsaan, namun itu bukanlah alasan untuknya beraksi sambil lewa. Malah, ia telah menyuntik semangat buatnya untuk menjadi lebih berani dalam menentukan masa hadapan.

“Saya akan berjuang untuk memastikan ia tercapai memandangkan telah lama menyimpan hasrat untuk beraksi di kejohanan berprestij itu yang akan berlangsung pada Oktober nanti. Andainya berhasil sudah pasti ia bakal mewarnai kerjaya saya dalam arena futsal,” ujarnya.

Kata pemain muda yang bercita-cita tinggi dalam sukan futsal ini lagi, bagi mencapai harapannya itu, dia kini banyak menghabiskan masa di gelanggang futsal, UTC Sentul dengan menjalani latihan intensif tiga hari seminggu.

“Selain latihan, saya juga perlu memastikan sentiasa berada dalam keadaan bersedia dari segi mental mahu pun fizikal. Untuk itu, keyakinan adalah senjata utama yang perlu diberi perhatian,” ujarnya yang sentiasa berfikiran positif.

Berkongsi tentang cabaran yang dihadapi dalam sukan futsal, pemain yang berada di posisi ‘ala’ ini berkata persaingan dengan pemain-pemain yang lebih bagus dan berpengalaman menjadi cabaran utama buat dirinya.

“Bukan itu sahaja, jika dilihat hari ini, ramai pemain muda menunjukkan prestasi bagus dari hari ke hari. Sungguhpun begitu, secara tidak langsung, ia mengingatkan saya untuk tidak cepat berasa selesa pada kedudukan sekarang.

“Walau apapun setakat ini, masa hadapan dunia futsal cerah dan sudah semestinya saya akan memberikan yang terbaik untuk kekal relavan. Tidak terhenti di situ saya turut mengimpikan peluang untuk beraksi bersama kelab futsal luar negara,” ujarnya.

Menjadikan pemain kelab Inter Movistar di Sepanyol, Ricardinho sebagai idola, kekuatan pemain antarabangsa tersebut yang lincah dan mempunyai tendangan padu amat dikaguminya.

“Kebetulan saya juga menggunakan kaki kiri sebagai kaki utama sama seperti dirinya. Jadi sudah tentu saya ingin berusaha untuk sampai ke tahap terbaik seperti yang digapai oleh Ricardinho,” ujar­nya.

Mula bermain seawal usia 11 tahun

Bercerita lanjut tentang penglibatan awalnya dalam sukan futsal, menurut anak kelahiran Selayang, Selangor ini, dia mula bermain ketika usia 11 tahun. Pada mulanya, ia sekadar untuk mengisi masa lapang di waktu petang sahaja.

“Masa itu, di belakang rumah ada gelanggang futsal dan ramai yang menjalani latihan di situ. Sambil melihat mereka berlatih, saya juga turut bermain secara suka-suka namun tidak sangka pula akhirnya boleh pergi sejauh ini.

“Saya juga dikira agak beruntung kerana keluarga dan rakan-rakan nampak ke­lebihan yang ada pada diri ini.
Mereka bukan sahaja menyokong bahkan mendorong setiap keputusan yang saya ambil melibatkan sukan futsal,” katanya.

Berkongsi detik kenangan manisnya sepanjang berada dalam dunia sukan itu, anak ketiga daripada lapan orang adik-beradik ini gembira apabila berjaya menjuarai SUKMA Futsal, 2018.

“Selain itu, saya juga berbangga apabila berpeluang menjaringkan gol bersama pasukan Kuala Lumpur pada Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) yang berlangsung Mei lalu,” ujar pelajar Diploma Pengurusan Peruncitan, Politeknik Metro Kuala Lumpur itu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas