Berita

Bentang pelan menyeluruh, lengkap

KHALID (depan) bersama Zulkurnain (kanan) meninjau keadaan Kampung Baru.
KHALID (depan) bersama Zulkurnain (kanan) meninjau keadaan Kampung Baru.
- Diterbit 23 Ogos 2019 5:10 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD dan AZLAN ZAMBRY

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membentangkan pelan pembangunan semula Kampung Baru secara terperinci termasuk mengemukakan model reka bentuk tiga dimensi (3D) bagi memberikan gambaran lebih jelas tentang projek berkenaan kepada pemilik dan waris kawasan tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad menegaskan, kerajaan tidak akan melaksanakan projek pembangunan tersebut secara rahsia sebaliknya semua pihak berkepentingan akan diberi peluang untuk menyuarakan pandangan dan maklum balas.

Malah beliau juga menyatakan, kerajaan akan menerajui projek pemba­ngunan semula itu atas dasar persetujuan dengan semua pihak berkepentingan terutama pemilik dan waris tanah.

“Kita libatkan semua pihak dalam pembangunan tersebut, bukannya dibuat secara rahsia dan bukan beli tanah tersebut secara paksa, setuju atau tidak setuju, ini bukan caranya,” katanya pada sesi pra pelancaran Town Hall Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Pemilik Tanah Kampung Baru di pekarangan Masjid Jamek Kampung Baru di sini baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Setia­usaha kementerian, Datuk Seri Saripuddin Kasim; Pengerusi Perbadanan Kampung Baru (PKB), Tan Sri Ambrin Buang; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Zulkurnain Hassan dan Pengarah Eksekutif Perancang DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah.

Sesi tersebut merupakan pertemuan awal bersama pemilik tanah di Kampung Baru menjelang perjumpaan penuh pada 21 September ini di Dewan Perdana Felda yang dijadual dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kerajaan bakal mengumumkan pelan perancangan terperinci berkaitan pembangunan semula Kampung Baru dan membuat tawaran baharu kepada pemilik dan waris tanah melibatkan kira-kira 825 lot yang dimiliki 5,359 penama di Kampung Baru.

Khalid berkata, pelan pembangunan tersebut juga bakal memasukkan zon tradisional seperti pengekalan imej Melayu termasuk rumah-rumah tradisional Kampung Baru.

Beliau juga menegaskan, kerajaan bakal mengumumkan tawaran penjualan tanah di Kampung Baru pada kadar harga munasabah mengikut harga pasaran berasaskan syarat pemilikan tanah orang Melayu yang perlu dikekalkan.

Sementara itu, Perbadanan Kampong Bharu membuka pendafaran secara online bagi pemilik tanah yang berhasrat hadir pada sesi Town Hall di Dewan Felda pada 21 September ini dengan melakukan di laman web www.pkb.gov.my/townhall.

Katanya perbadanan itu, pendaftaran secara walk in juga boleh dilakukan dengan datang ke pejabat PKB di Kampung Baru dengan membawa bukti kad pengenalan, geran tanah dan dokumen berkaitan seperti salinan hak milik tanah atau cukai tanah bagi waris dan syarikat serta pertubuhan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas