Berita

Pelan Tindakan Pembangunan 2030 perkasa ekonomi Labuan

ISMAIL Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan Amanat Jelajah Keluarga Malaysia di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan Ahad lalu.
- Diterbit 28 Oktober 2022 2:18 AM MYT

PELAN Tindakan Pembangunan Labuan 2030 mampu memperkukuh dan mempelbagaikan pembangunan ekonomi di pulau bebas cukai itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, Pelan Pembangunan jangka panjang itu telah menggariskan beberapa bentuk cadangan pembangunan fizikal dan program khususnya dalam meningkatkan aktiviti ekonomi Labuan.

“Tumpuan utamanya termasuklah mengukuhkan serta mempelbagaikan kegiatan ekonomi supaya Labuan tidak hanya bergantung kepada sektor kewangan serta industri berkaitan minyak dan gas.

“Selain itu, sektor pelancongan dalam Pelan Tindakan ini telah dijadikan inisiatif tumpuan utama kerana kelebihan Labuan sebagai pulau bebas cukai dan memiliki aset pelancongan yang berpotensi,” katanya ketika menyampai ucapan Amanat Jelajah Keluarga Malaysia di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Mahdzir Khalid dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias.

Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun.

Ismail berkata terdapat lima hala tuju dalam pelan pembangunan itu meliputi pembangunan sektor kewangan dan perniagaan.

“Selain itu sektor minyak dan gas perlu dimantapkan, yang menjadi penjana penting pertumbuhan ekonomi Pulau Labuan, melalui pelaksanaan hab sektor minyak dan gas dengan Wilayah Persekutuan Labuan berperanan mengukuhkan fungsinya sebagai hab utama untuk menyokong aktiviti industri ini.

“Sektor pendidikan juga perlu diberi perhatian dalam pelan pembangunan agar memperkasakan pembangunan modal insan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu bekalan air di pulau itu, Ismail berkata kerajaan telah meneruskan usaha menambah baik dan menaik taraf bekalan air di Labuan dengan lapan buah projek dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air Labuan pada tahun 2022.

“Antara projek yang dilaksanakan ialah Loji Rawatan Air Kinabenua, pembinaan tangki tinggi di kawasan Lajau dan Ganggarak, menaik taraf projek paip di jalan Bebuloh dan Jalan Mohd Salleh, penggantian paip pumping dari Pulau Enoe,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas