Berita

Kapal korek karam di Bangladesh: Mayat 8 pekerja ditemukan

- Diterbit 27 Oktober 2022 1:30 PM MYT

MISI mencari dan menyelamat selama 63 jam dihentikan selepas mayat kelapan dan terakhir ditemukan di lokasi kejadian kapal korek karam di perairan di daerah Chattogram Bangladesh, kira-kira 242 kilometer dari Dhaka.

Timbalan Penolong Pengarah Perkhidmatan Bomba dan Pertahanan Awam Chattogram, Abdullah Harun Pasha berkata lapan daripada sembilan pekerja kapal korek itu disahkan terkorban.

“Mayat kesemua lapan pekerja yang hilang telah ditemukan,” katanya kepada media pada Khamis lapor Xinhua.

Penyelam terpaksa memotong beberapa bahagian kapal korek untuk mengeluarkan mayat.

Kapal korek itu dilaporkan terbalik akibat siklon Sitrang yang membadai kawasan itu pada Isnin.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh apabila siklon Sitrang melanda pantai Bangladesh dan melemah menjadi ribut tropika pada awal pagi Selasa. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas