Berita

Pekerja asing bawa risiko

PEMANTAUAN operasi niaga melibatkan pengendali makanan terus menjadi tumpuan pihak penguat kuasa DBKL.
- Diterbit 22 Mac 2024 9:15 AM MYT

ISU menggajikan pekerja dalam kalangan warga asing di bazar Ramadan masih berleluasa biarpun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempergiatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan.

Ia turut mendapat perhatian peniaga tempatan yang menganggap tindakan pihak tidak bertanggungjawab tersebut memberi kesan terhadap aspek keselamatan terutamanya dari segi kesihatan.

Peniaga Nasi Kukus Ayam Berempah, Halim Idris, 56, berpandangan kegiatan tersebut perlu dibanteras kerana ia bukan sahaja membabitkan kesalahan dari segi undang-undang mahupun syarat-syarat yang ditetapkan pihak penguat kuasa malah ia juga berkait dengan aspek kesihatan.

“Umum mengetahui, kesemua peniaga bazar dikehendaki memiliki suntikan tifoid namun tidak sama sekali dengan pekerja warga asing di mana ada segelintirnya berkemungkinan tidak mengambil suntikan tersebut dan kita pun tidak tahu tahap kesihatan serta kebersihan mereka bagaimana,” katanya.

Halim yang sudah memasuki tahun keenam berniaga di Bazar Ramadan Wangsa Maju berkata dia sama sekali tidak gemar menggajikan atau melantik pekerja dalam kalangan warga asing.

“Saya berharap tindakan penguatkuasaan, penangkapan dan notis kompaun terhadap pemilik yang melantik pekerja warga asing ini akan diperluaskan bagi memastikan operasi niaga dapat berjalan mengikut kelulusan yang ditetapkan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, dia turut memuji tindakan pihak penguat kuasa termasuk para penganjur atau urus setia yang sentiasa memantau dan menitikberatkan aspek tersebut dalam kalangan peniaga bazar.

Sementara itu, peniaga Roti John Labu Labi, Mohd Hafiz juga berpuas hati dengan tindakan DBKL dalam mengendalikan kegiatan peniaga rambo khususnya di sekitar ibu kota.

“Pada pandangan saya, tindakan peniaga rambo memacakkan khemah di bahu-bahu jalan raya amat tidak adil untuk peniaga yang ada lesen sah sebab kita sanggup keluarkan ratusan ringgit untuk bayar tapak walhal mereka tidak.

“Tindakan mereka itu juga turut menimbulkan masalah parkir, misalnya di bazar sudah hadkan 100 hingga 200 peniaga sahaja, kalau diorang pacakkan juga khemah akan menyusahkan pengunjung,” katanya yang sudah 18 tahun berniaga di Bazar Ramadan Wangsa Maju.

Setakat ini, DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan Tindakan Khas Bazar Warga Asing di sekitar Jalan 2/3A Pusat Bandar Utara pada 18 Mac lalu serta pemantauan terhadap aktiviti peniaga Bazar Ramadan Parlimen Seputeh sekitar Jalan Radin, Jalan Desa Jaya dan Jalan Impian Indah pada 15 Mac. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas