Utama

PDRM tidak berkompromi pegawai, anggota berhibur di pusat hiburan

POLIS KL
KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim
- Diterbit 5 Ogos 2019 8:27 AM MYT

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai kanan atau anggotanya yang pergi berhibur di pusat hiburan serta terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah.

Perkara itu ditegaskan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berikutan terdapat anggota polis melepaskan tembakan secara terbuka di sebuah kelab di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Ujar beliau, suspek berusia 33 tahun itu pergi ke kelab berkenaan bersama seorang rakan lelaki dan empat orang rakan wanita yang merupakan orang awam.

“Kira-kira pukul 5.25 pagi, semalam, satu pergaduhan berlaku antara rakan perempuan suspek dengan beberapa orang yang tidak dikenali.

“Suspek kemudiannya melepaskan tembakan ke arah udara bagi menyuraikan pergaduhan yang melibatkan lebih kurang 20 individu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mazlan, selepas tembakan dilepaskan, semua yang terlibat melarikan diri dan pengawal keselamatan telah datang untuk mengawal keadaan.

Katanya, pihak keselamatan kelab telah merampas senjata api tersebut dan menyerahkannya kepada pihak polis.

“Tiada kecederaan yang berlaku dari tembakan tersebut dan ujian saringan air kencing suspek adalah negatif,” jelasnya.

Tambah Mazlan, kes disiasat di bawah Seksyen 39(a) Akta Senjata Api 1960.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Shahrizal Salleh di talian 017-7134705; Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Hanif Akmal Che Hussin di talian 012-9840140 atau hotline polis Kuala Lumpur, 03-21159999 atau tampil ke mana-mana balai polis berdekatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas