Berita

6,000 Jalur Gemilang diagih meriahkan sambutan Hari Kemerdekaan

KHALID KIBAR
KHALID (tengah) bersama Shahruddin (empat kiri) dan Aminuddin (tiga kanan) mengibarkan jalur gemilang pada Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Putrajaya sempena Putrajaya Car Free Day di Dataran Putrajaya. -FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 4 Ogos 2019 6:07 AM MYT

HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kemerdekaan 2019 diharap dapat diadakan lebih meriah dengan menjalankan pelbagai aktiviti termasuk menyemarakkan usaha mengibar Jalur Gemilang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, aktiviti kempen Jalur Gemilang di ibu kota dan Putrajaya masing-masing yang diadakan semalam dan hari ini boleh dianggap sebagai satu acara preview menjelang sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos nanti.

”Harap sambutan Hari Kemerdekaan yang bakal diadakan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos nanti menjadi lebih meriah berbanding tahun-tahun yang lepas,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Putrajaya di Dataran Putrajaya di sini pagi tadi.

Hadir sama timbalannya, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim serta Naib Presiden Kanan PPj, Datuk Omairi Hashim.

Pada majlis itu Khalid menerima Jalur Gemilang daripada Aminuddin yang mengetuai perbarisan penunggang berkuda sebagai simbolik pelancaran kempen tersebut.

Sebanyak 6,000 Jalur Gemilang turut diagihkan kepada Majlis Perwakilan Penduduk Putrajaya dan orang ramai.

Khalid turut menyeru warga Wilayah Persekutuan agar dapat mengibarkan Jalur Gemilang di premis kerajaan, swasta, premis niaga dan kenderaan masing-masing.

Kempen yang diadakan serentak dengan program Car Free Day Putrajaya anjuran PPj itu turut dimeriahkan dengan acara larian Putrajaya Merdeka Fun yang bermula pukul 7.30 pagi.

Selepas itu, orang ramai menyaksikan perarakan perbarisan kemerdekaan oleh 150 kanak-kanak pra sekolah di sekitar Putrajaya yang menampilkan pakaian beragam berkonsep patriotisme sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Mereka mengadakan perarakan lintas hormat dan melaungkan slogan ‘Merdeka!’.

Pelbagai acara juga diadakan seperti pertandingan Bey Blade Merdeka, showcase permainan tradisional, pameran keselamatan jalan raya, pameran kitar semula dan jualan food truck serta barangan pre loved. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas