Berita

Patuhi peraturan cermin gelap kenderaan: JPJ

- Diterbit 6 Oktober 2023 7:00 AM MYT

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan pemilik kenderaan persendirian supaya mematuhi peraturan pemakaian cermin gelap seperti yang diwartakan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (Pindaan 2019).

Peraturan itu menetapkan Kadar Ketelusan Cahaya (VLT) bagi cermin kenderaan yang dibenarkan adalah 70 peratus bagi cermin hadapan kenderaan, 50 peratus bagi cermin tepi sisi kiri kanan pemandu dan 0 peratus bagi cermin sisi bahagian belakang dan cermin belakang.

Menurut JPJ pemandu atau pemunya berdaftar kenderaan yang melanggar peraturan itu boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan bagi kesalahan pertama, manakala bagi sabitan berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya.

JPJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan mana-mana individu atas faktor keselamatan atau kesihatan bagaimanapun boleh memohon kelulusan untuk menggunakan cermin gelap dengan cara memohon melalui pos atau portal JPJ www.jpj.gov.my.

“Sehingga kelulusan diperoleh, mana-mana individu hendaklah mematuhi peraturan yang sedang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPJ sebanyak 108,428 notis kesalahan melibatkan cermin gelap telah dikeluarkan sejak 2019 hingga kini, dengan 17,218 daripadanya telah dikenakan saman JPJ (P) 22 yang melibatkan kesalahan cermin gelap.

“JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada pemandu atau pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan penggunaan cermin gelap yang ditetapkan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas