Berita

Parlimen Seputeh kuasai Sukpar

JOHAN bola jaring bergambar bersama Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri (lima dari kanan) pada Sukpar 2019 baru-baru ini.
- Diterbit 1 November 2019 7:37 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

PUTRAJAYA – Pasukan Bola Jaring dan Futsal Parlimen Seputeh muncul juara keseluruhan Piala Pusingan Menteri Wilayah Persekutuan pada pusingan akhir Karnival Sukan Parlimen (Sukpar) 2019 yang berlangsung di Kompleks Futsal Mokhtar Dahari Presint 18 di sini baru-baru ini.

Menurut Ketua Pasukan Bola Jaring Parlimen Seputeh, Nur Anis Syafika Shahidan, kemenangan tersebut merupakan detik manis yang tidak dapat dilupakan kerana pasukannya berjaya mengenepikan 12 pasukan lain.

“Pertandingan ini sengit, kami menang 14-13 ke atas pasukan dari Parlimen Titiwangsa. Detik-detik terakhir sangat mencabar keupayaan dan mujurlah teknik yang diajar jurulatih membantu,” ujarnya.

Katanya, dengan kemenangan tersebut, dia dan pasukan akan lebih konsisten untuk terus berlatih bagi melayakkan diri ke kejohanan yang lebih besar selain lebih bersedia untuk mewakili Parlimen Seputeh pada tahun hadapan.

Sementara itu, Ketua Pasukan Futsal Parlimen Seputeh, Mohamad Naim Mohamad Zainal pula menyifatkan kemenangan 7-2 ke atas Parlimen Cheras adalah hasil usaha pasukannya yang bermain dengan semangat juang yang tinggi dari awal permainan.

Kedua-dua juara membawa pulang Piala Pusingan Men­teri Wilayah Persekutuan dan hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 (bola Jaring) dan RM3,000 (futsal).

Terdahulu karnival Sukpar melibatkan 26 pasukan bola jaring dan futsal dari 13 Parlimen berentap merebut gelaran juara. Karnival yang berlangsung mulai 5 Oktober itu menerima penyertaan sebanyak 475 pasukan bagi kedua-dua acara sukan yang dipertandingkan iaitu bola jaring (161 pasukan) manakala futsal (314 pasukan).

Sukpar merupakan usaha yang dilakukan bagi menggalakkan setiap Pejabat Ahli Parlimen dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di Wilayah Persekutuan untuk turut sama menyokong sambutan Bulan Sukan Negara.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas