Berita

20,000 pengunjung meriahkan Aidilfitri Malaysia Madani

SEKITAR suasana kemeriahan Program Aidilfitri Malaysia Madani di Dataran Merdeka, hari ini.
- Diterbit 13 Mei 2023 6:00 AM MYT

KIRA-KIRA 20,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama termasuk pelancong asing hadir memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Malaysia Madani yang berlangsung di Dataran Merdeka hari ini.

Meskipun acara itu sepatutnya dijadualkan bermula pukul 10 pagi sehingga 12 tengahari, orang ramai dilihat mula membanjiri majlis seawal pukul 8 pagi semata-mata tidak mahu melepaskan peluang meraikan syawal bersama-sama selain menikmati hidangan makanan di 120 gerai yang disajikan dengan konsep ‘First Come, First Served’.

Antara menu menarik yang disajikan ialah 105 ekor Kambing Golek, Ayam Golek, Nasi Tomato, Nasi Ayam, Lemang, Rendang, Sate, buah-buahan, Dim Sum, minuman serta Mc Donalds dan banyak lagi.

Selain hidangan makanan, para pengunjung turut disajikan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu nasyid dan ketuhanan oleh kumpulan Rabbani, Hud Buskers dan kumpulan Suara Seni Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di samping Sumbangan Duit Raya turut disampaikan kepada anak-anak yatim dan golongan asnaf pada majlis tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Lebih menarik, majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tiba sekitar pukul 11 pagi. Kehadiran beliau membuatkan orang ramai tidak melepaskan peluang bersalaman dan bergambar kenangan bersama.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Senator Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Dr. Mohd Daud Bakar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh, dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib bin Ismail.

Terdahulu, Majlis ini merupakan anjuran JAWI bersama gabungan 120 buah masjid dan surau Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan, MAIWP termasuk kerjasama pelbagai rakan strategik yang lain.

Ia juga merupakan lanjutan daripada acara yang pernah diadakan pada tahun 2019 dan 2022.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas