Berita

Norma baharu penghantar makanan

Penyerahan kit bakul penjagaan kendiri kepada penghantar makanan. Penyerahan kit bakul penjagaan kendiri kepada penghantar
- Diterbit 20 November 2020 7:30 AM MYT

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan menganjurkan Program Khidmat Komuniti Rakan Muda; Penghantar Makanan bagi menerapkan budaya amalan norma baharu dalam kalangan penghantar makanan di pulau bebas cukai itu.

Program itu turut mendapat kerjsama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelbagai agensi kerajaan.

Pengarah Keselamatan Negeri MKN Labuan, Nurzalizah Kartika Abdullah berkata, program itu merupakan usaha untuk menerapkan elemen-elemen penjagaan kendiri ketika mereka melakukan perkhidmatan penghantaran bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19.

“Kita sasarkan untuk membuat agihan sebanyak 500 kit bakul penjagaan kendiri kepada penghantar makanan di Labuan.

“Kit bakul tersebut mengandungi beberapa barangan penjagaan kendiri seperti hand sanitizer, pelitup muka, sarung tangan dan risalah mengenai pembudayaan norma baharu,” katanya kepada pemberita semasa Program Khidmat Komuniti Rakan Muda; Penghantar Makanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan pada Sabtu.

Sementara itu, Pengarah JBS, Mahanum Fauzi berkata, ia merupakan salah satu program Rakan Muda untuk menerapkan amalan norma baharu dalam kalangan belia khususnya.

“Kita mahu menerapkan pembudayaan norma baharu ini kepada rakan  muda dan belia yang berumur 15 hingga 25 tahun. Mereka ini merupakan komuniti yang penting dalam membantu golongan petugas barisan hadapan mengekang penularan COVID-19,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahanum berkata, program ini juga turut menyasarkan golongan penghantar makanan kerana kebanyakan mereka adalah golongan belia.

“Kita akan mengenal pasti dan mengembangkan lagi kepada kluster-kluster lain untuk kita promosikan pembudayaan amalan norma baharu ini agar golongan belia di Labuan memahami dan mengamalkan penjagaan kendiri,” katanya.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad dan Pegawai Jabatan Penerangan (JaPen) Labuan Md Khairul Azad Yunus.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas