Atlet Wilayah

Sukan jatuh nombor dua

BIARPUN SUKMA 2020 dibatalkan atlet wilayah tetap giat berlatih. - Gambar hiasan
- Diterbit 20 November 2020 7:46 AM MYT

BIARPUN sudah sebati dalam sukan bola jaring sejak zaman persekolahan lagi, namun pemain tengah kebangsaan, Nordiyanah Noorsabadinie, 20, enggan mempertaruhkan masa depan demi sukan semata-mata.

Malah dia sedar, satu saat nanti, tahap kecergasannya bakal menurun dan tidak lagi selincah ketika zaman remaja. Dek kerana itu, atlet Wilayah Persekutuan ini mengambil keputusan untuk fokus dalam pengajian
Diploma Perbankan Islam di Politeknik Nilai, Negeri Sembilan.

“Badan akan semakin tua, paling lama pun saya mungkin akan aktif sehingga umur 30 tahun. Disebabkan itu, saya tidak mahu mensia-siakan peluang untuk belajar bersungguh-sungguh dan memperolehi pekerjaan yang sesuai,” ujarnya.

Memandangkan dia kini berada di tahun akhir dan bakal menjalani latihan industri, Nordiyanah sebolehnya mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang pengajiannya itu.

“Saya bercita-cita untuk bergelar seorang perunding takaful dan diharapkan impian tersebut bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi,” ujarnya kepada Wilayahku.

Beralih kepada sukan pula, dia yang pernah melakar kejayaan apabila pasukan Bola Jaring U21 Kebangsaan dimahkotakan sebagai juara Asia pada Kejohanan Bola Jaring Asia di Kashima, Jepun tahun lalu berkata sebolehnya dia mahu mencipta kejayaan lebih gemilang lagi.

“Jika boleh sebelum mengundur diri, saya ingin melayakkan diri ke dalam pasukan senior dan mencipta sejarah besar dalam sukan bola jaring,” ujar
atlet kelahiran Kuala Lumpur ini lagi.

Menyentuh tentang latihan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), atlet tinggi lampai ini tetap konsisten dalam menjalani program latihan yang dibekalkan oleh Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP).

“Saya berlatih dari rumah dengan modul tersebut dan dalam masa yang sama turut menghantar video latihan yang dijalankan kepada mereka,”
ujar anak kedua daripada enam orang adik-beradik ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas