Berita

PKB, NGO lindungi Kampung Baru

KEMPEN Pembudayaan Norma Baharu Cegah COVID-19 anjuran Perbadanan Pembangunan
- Diterbit 20 November 2020 7:24 AM MYT

BILA disebut syurga makanan Kuala Lumpur, majoriti akan membayangkan Kampung Baru adalah tempatnya. Di sini terdapat pelbagai jenis makanan tradisional, masakan kampung, lauk pauk, kuih-muih yang jarang kita jumpa dan yang paling utama suasana pekan kampung di tengah bandaraya bertaraf antarabangsa.

Kampung Baru sering menjadi tempat yang dikunjung ramai bukan sahaja mereka yang bekerja di kawasan sekitar, malah mereka yang ada rasa teringin menjamah juadah tertentu turut datang ke sini untuk melegakan keinginan selera. Bak kata pepatah ‘kecur air liur’ bila mengidam.

Walaupun peningkatan jangkitan mendadak dalam gelombang ketiga COVID-19 ini, para peniaga di Kampung Baru tetap meneruskan perniagaan mereka kerana rata-rata mereka mengatakan berniaga itu juga adalah satu ibadah fardhu kifayah dan dipandang tinggi dalam agama Islam.

Perjuangan mereka dalam mengimbangi ekonomi kecil negara harus diberi perhatian.

Demi kelestarian atmosfera ini, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menjalankan satu program mengedar kit pencegahan COVID-19 dan gegantung Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada peniaga dan juga penduduk di Kampung Baru sebagai peringatan norma baharu yang perlu dipatuhi.

Tindakan proaktif PKB dalam menjaga kepentingan para peniaga dan penduduk amat dihargai masyarakat setempat yang diibaratkan sebagai sebuah keluarga besar yang sedang menempuh cabaran pasca pandemik COVID-19 ini bersama-sama.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas