Biz

NMB beri peluang pengusaha produk nano tembusi pasaran

ARTHUR (dua dari kanan) ketika merasmikan pelancaran skim ANOTrust dan GRAPHENEVerify di Sunway Putra Hotel baru-baru ini. Turut sama Aminuddin (tiga dari kanan) dan Fadilah (kiri).
- Diterbit 20 Mei 2023 7:00 AM MYT

AGENSI terkemuka di Malaysia dalam bidang teknologi nano dan pengkomersialan penyelesaian termaju, NanoMalaysia Berhad (NMB), melancarkan dua skim persijilan produk, NANOTrust dan GRAPHENEVerify baru-baru ini.

Skim di bawah Program NANOVerify ini memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana yang mempunyai produk mengandungi nano untuk mendapatkan kepercayaan yang kredibel bagi menembusi pasaran dalam atau luar negara.

Menurut kenyataan NMB, program tersebut sekali gus menyumbang kepada penciptaan ekosistem nanoteknologi yang dinamik dan progresif.

“Ia sebagaimana termaktub dalam Dasar dan Strategi Kebangsaan Nanoteknologi 2021-2030 (DSNN), untuk menangani pelbagai cabaran dan memacu industri nanoteknologi dan graphene Malaysia ke hadapan.

“Dalam dua Rancangan Malaysia yang lepas, Malaysia telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam membangunkan industri nanoteknologi,” ujarnya.

Skim Pensijilan Produk NANOTrust dan GRAPHENEVerify selaras dengan tiga tonggak Malaysia Madani iaitu kelestarian, inovasi, dan kepercayaan untuk memacu nanoteknologi sebagai salah satu enjin pertumbuhan negara.

Terdahulu, pelancaran dua skim tersebut yang diadakan di Sunway Putra Hotel dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Arthur Joseph Kurup disaksikan Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ts Dr Aminuddin Hassim; Pengerusi NANOVerify Sdn Bhd, Datuk Fadilah Baharin dan Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad, Dr Rezal Khairi Ahmad.

Katanya, kedua-dua skim tersebut menekankan penempatan produk nano berkualiti di pasaran sambil menangani kebimbangan tentang tuntutan produk.

“Inisiatif ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu nombor sembilan dalam membina infrastruktur yang berdaya tahan dan memupuk inovasi. Industri berteknologi tinggi, termasuk nanoteknologi, telah terbukti lebih tahan lasak dalam krisis berbanding dengan industri berteknologi rendah,” jelas kenyataan tersebut. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas