WK2

Nilai eksotik orkid, bonsai

VANDA Queen Azizah Iskandar antara orkid yang menjadi tumpuan pengunjung di Floria Diraja Putrajaya 2019.
- Diterbit 6 September 2019 5:29 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI

BUNGAAN jenis orkid pastinya paling digemari golongan wanita dan tidak kurang juga kaum lelaki. Tambahan pula, ia mudah ditanam dan tidak sukar untuk dijaga kerana merupakan jenis tumbuhan yang tahan lasak serta sesuai dengan iklim di Malaysia. Selain itu, orkid juga melambangkan kecantikan, kekayaan dan elegan kerana merupakan jenis bunga eksotik.

Berasal daripada famili Aristocrat, antara spesies orkid yang terkenal adalah vanda, dendrobium, aranda, oncibidium, mokara dan phalaenopsis yang mempunyai pelbagai saiz, warna, bentuk dan bau malah ia dikatakan lambang kekayaan dan elegan berikutan suatu masa dahulu, ia hanya dimiliki golongan atasan sahaja.

Kecantikannya juga tidak asing malah bentuk dan warna yang berbeza menjadikannya bertambah unik. Ekoran itu, orkid diangkat sebagai salah satu tema Floria Diraja Putrajaya 2019 yang berlangsung di Taman Botani, Presint 1, Putrajaya bermula 31 Ogos hingga 8 September ini.

Lebih menarik apabila, penganjuran kali ini turut memperkenalkan koleksi orkid baharu, Vanda Queen Azizah Iskandar yang telah didaftarkan di International Cultivar Registration Authority (ICRAs) di United Kingdom pada 17 Julai lalu.

Nama tersebut dipilih bersempena pemasyhuran Tunku
Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Permaisuri Agong ke-16 pada 30 Julai lalu.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad, penghasilan Vanda Queen Azizah Iskandar membuktikan negara berkeupayaan menghasilkan benih yang unik seiring
dengan kemahiran dari segi florikultur.

“Ia telah didaftarkan di United Kingdom sebagai benih yang unik. Itu menunjukkan kemahiran dari segi florikultur kita.

“Keunikannya adalah kita berkeupayaan menghasilkan benih hasil cantuman dan ‘kahwin’ beberapa jenis orkid daripada jenis vanda yang asalnya tidak mempunyai warna.

“Signifikan nama Vanda Queen Azizah Iskandar kerana kita mengetahui minat mendalam Permaisuri Agong dengan bunga-bungaan dan ia adalah sebagai penghargaan,” katanya.

Khalid memberitahu, benih tersebut juga akan dihasilkan dan dikomersial untuk dijadikan sumber pendapatan negara.

Selain kepelbagaian spesies orkid, ujar beliau, Floria Diraja Putrajaya 2019 juga mengetengahkan bonsai sejajar dengan tema ‘Mother Of All Gardens’. Lebih menarik apabila pameran kali ini menampilkan koleksi mini orkid dan mini bonsai yang pastinya merupakan kuntuman comel.

Festival kali ke-11 itu mempamerkan satu juta kuntum bunga-bungaan daripada pelbagai jenis termasuk lebih 500 variasi spesies orkid, 100 koleksi bonsai dan 70 pameran taman dengan pelbagai tema dan reka bentuk termasuk jam bunga.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Induk Royal Floria Putrajaya 2019, Mustafa Kamal Ismail berkata, pelbagai kemudahan pengangkutan untuk memudahkan pengunjung melawat Royal Floria Putrajaya 2019 disediakan sepanjang sembilan hari penganjurannya.
“Antaranya termasuk teksi air, bas ulang-alik dari kawasan parkir kenderaan selain 2,000 tempat parkir kenderaan.

“Bagi kemudahan teksi air menggunakan bot Dondang Sayang, ia disediakan berhampiran jeti Masjid Putra dan pengunjung hanya perlu membayar RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak yang mana ia termasuk tiket masuk ke Royal Floria Putrajaya 2019.

“Kita juga menyediakan bas ulang alik dari tempat parkir kenderaan membabitkan Parcel A, B, C, D, E dan Taman Perdana Putra,” katanya.

Katanya, sehingga pukul 2 petang, 4 September, kira-kira 75,000 pengunjung direkodkan mengunjungi Floria Diraja Putrajaya 2019 dan dianggarkan 500,000 pengunjung bakal hadir menjelang hari terakhir penganjuran.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas